Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:29pm
PEMAIN Malaysia memberi tepukan gemuruh kepada penyokong yang hadir di Stadium Changshu selepas berakhir aksi kedua Kumpulan C, hari ini.

Malaysia masih ada peluang

Saingan Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) terus terbuka apabila pasukan pilihan Iraq dan Arab Saudi hanya mencatat keputusan seri 0-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Changshu, China hari ini.

Satu mata itu membolehkan Iraq juara 2013 mendahului kumpulan dengan empat mata selepas dua perlawanan manakala Arab Saudi berkongsi dua mata dengan Jordan yang seri 1-1 menentang Malaysia dalam satu lagi perlawanan.

Bagi jurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad, saingan merebut dua tempat ke suku akhir masih terbuka termasuk Malaysia yang mempamerkan peningkatan selepas kalah 1-4 di tangan anak buahnya Rabu lalu.

"Pasukan mana yang layak ke pusingan seterusnya hanya akan diketahui pada perlawanan terakhir. Saingan masih sengit dan Malaysia juga masih bersaing dalam kumpulan ini.

"Hari ini pemain kami beraksi bukan di tahap sebenar terutama di bahagian serangan. Kami akan segera melupakan dua perlawanan yang dilalui ini dan fokus kepada perlawanan seterusnya menentang Jordan (Selasa ini)," katanya dalam sidang media selepas perlawanan hari ini.

Sementara bagi jurulatih Arab Saudi pula, Daniel Edgardo Teglia mengharapkan prestasi lebih baik anak buahnya apabila berdepan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan terakhir di Kushan, Selasa ini.

"Perlawanan dengan Iraq agak seimbang, kami mengawal permainan dan ada peluang menjaringkan gol. Pemain saya cuba mengelak daripada melakukan kesilapan seperti yang berlaku ketika seri 2-2 dengan Jordan sebelum ini.

"Kami perlu bersedia untuk berdepan Malaysia, kami harus menghormati setiap lawan kami," katanya.

2101 dibaca
Berita Harian X