Selasa, 9 Januari 2018 | 5:26pm
JURULATIH skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee (dua dari kiri) mahu kejayaan pasukan Greece menjuarai Kejohanan Eropah 2004 menjadi inspirasi kepada skuad kendaliannya.

Semangat Greece inspirasi skuad B-23 negara

KEJAYAAN pasukan Greece menjuarai Kejohanan Eropah 2004 di Portugal seharusnya menjadi inspirasi kepada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk melakar kejutan di Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula esok.

Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang dianggap pasukan kerdil dalam kempen Kumpulan C, bakal bertemu juara 2013 dan pemenang tempat ketiga 2016, Iraq di Stadium Changsu dalam perlawanan pertama.

Mungkin ramai tidak meletakkan harapan tinggi buat Malaysia yang tampil buat kali pertama di kejohanan ini apatah dua lagi pencabar, Arab Saudi dan Jordan juga memiliki rekod baik apabila muncul naib juara dan tempat ketiga pada edisi pertama lima tahun lalu.

Bagaimanapun seperti Greece yang langsung tidak diberikan harapan pada Kejohanan Eropah 2004, Kim Swee juga mengharapkan mereka mampu melakukan kejutan.


PENGENDALI skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee (kanan) pada sesi latihan menjelang Kejohanan AFC B-23 di Padang Latihan Haikamu, hari ini. - Foto Aizzul A Majid

"Kita datang ke sini bukan saja mengambil bahagian, yang mustahak apabila kita keluar pada setiap perlawanan ini, saya harap kita akan keluar dengan satu kejayaan dan pada masa yang sama pemain-pemain harus ambil kesempatan ini untuk belajar dalam semua perlawanan yang kita lalui," katanya ketika ditemui selepas sidang media sebelum perlawanan itu, hari ini.

Kim Swee, bekas jurulatih kebangsaan mempertaruhkan sebilangan besar pemain yang meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila hanya membawa masuk tujuh muka baharu daripada 23 pemain.

Dengan cuaca sejuk yang bakal menjadi antara cabaran buat anak buahnya, Kim Swee percaya mereka sudah bersedia untuk turun menentang Iraq.

"Kita tak nafikan Iraq pasukan yang hebat, mereka memiliki rekod baik di kejohanan remaja dan senior. Pemain kami perlu bermain lebih daripada biasa untuk bersaing dengan Iraq. Saya percaya dengan pendekatan taktikal yang betul mungkin kami boleh mendapat keputusan positif," katanya.

Tanpa sebarang kecederaan menimpa pemainnya, Kim Swee juga boleh menarik nafas lega apabila dua tonggak utama termasuk penyerang berbisa Iraq, Aymen Hussein yang meledak enam gol pada pusingan kelayakan dan Ahmad Mohsen Jaber tidak dapat beraksi esok kerana digantung perlawanan.

"Pasukan Iraq mempunyai ramai pemain-pemain yang berkualiti seperti yang saya katakan. Individu-individu tertentu yang membezakan pasukan-pasukan dari Timur Tengah ini, tanpa dua pemain ini saya percaya mereka mampu beri tentangan," jelas Kim Swee.

1045 dibaca
Berita Harian X