Isnin, 8 Januari 2018 | 12:03pm
PENYERANG B-23 negara, Jafri Firdaus Chew mengharapkan keajaiban di Bangkok berulang pada kempen Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Changshu, bermula Rabu ini. - Foto Asyraf Hamzah

Jafri harap keajaiban berulang di Changshu

CHANGSHU, China: Penyerang muda negara, Jafri Firdaus Chew mengharapkan keajaiban di Bangkok berulang apabila mereka mengharungi kempen Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Changshu, bermula Rabu ini.

Skuad B-23 negara mara ke pusingan akhir kejohanan kali ini selepas melepasi kelayakan di Bangkok Julai lalu apabila muncul juara Kumpulan H meskipun tidak diletakkan banyak harapan pada awalnya.

Biarpun saingan di Changshu lebih sukar apabila diundi bertemu juara 2013 Iraq, Arab Saudi dan Jordan berbanding di pusingan kelayakan namun bagi Jafri, sekurang-kurangnya apa yang mereka lalui sebelum ini boleh dijadikan azimat.

"Situasi ini (di Changshu) mengingatkan saya kembali ketika kami berada di Bangkok yang mana ketika itu kami berjaya melakar kejutan dan sudah pasti saya berharap ia akan berlaku lagi kerana dalam bola sepak tiada apa yang mustahil," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada pusingan kelayakan, anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan Indonesia 3-0 namun tewas 0-3 di tangan Thailand sebelum mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan H dengan kemenangan 2-0 ke atas Mongolia.


JAFRI Firdaus (dua dari kanan) dan rakan sepasukan perlu berusaha keras ketika menentang Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini. - Foto Osman Adnan

Skuad muda negara yang layak buat kali pertama ke pusingan akhir berdepan ujian lebih getir menentang Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini sebelum menentang Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) dalam saingan Kumpulan C.

"Jika kami berjaya mendapatkan satu mata (menentang Iraq), ia sudah cukup bagus buat kami. Secara tidak langsung ia akan memberikan motivasi untuk perlawanan seterusnya.

"Kami perlu berusaha keras sebagai satu pasukan ketika bertahan dan menyerang kerana kami sedar Iraq pasukan hebat," kata Jafri yang menyertai kelab Liga Super, PKNS FC musim depan.

1164 dibaca
Berita Harian X