;
Ahad, 7 Januari 2018 | 7:50pm
PENJAGA Gol Kebangsaan AFC U23, Haziq Nadzli beraksi sewaktu Skuad AFC U23 sedang mengadakan sesi latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changsu, China.

Pemain Iraq "uji" mental skuad negara

SAINGAN belum bermula tetapi perang psikologi sudah dilakukan pemain Iraq ke atas pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjelang aksi pertama Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China pada Rabu ini.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee tiba di hotel penginapan di sini semalam bersama dengan skuad Iraq kendalian Abdul Ghani Shahad, dan bahang pertembungan kedua-dua pasukan mula terasa apabila beberapa pemain Iraq mula 'menyerang' mental pemain muda negara.

Perkara itu diakui sendiri penjaga gol negara, Haziq Nadzli ketika berdepan pemain Iraq di hotel penginapan.

"Ketika di dalam lif, ada pemain Iraq cuba mengganggu Jafri (Firdaus Chew) dengan sengaja merenung secara berdepan dan 'buat muka'.

"Tetapi Ifwat (Chek Kassim) yang turut berada di dalam lif membalas semula pandangan pemain Iraq dan nasib baik tiada apa yang berlaku. Saya fikir mereka sengaja nak mengacau dengan menakut-nakutkan kami. Tetapi ia sedikit pun tak mengganggu fokus kami," katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu Rabu ini menentang juara 2013 Iraq sebelum berdepan Jordan pada 13 Januari dan Arab Saudi (16 Januari).

Pertemuan dengan Iraq itu dianggap ujian paling besar buat skuad kendalian Kim Swee dan Haziq, yang beraksi ketika pasukan meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, nyata sudah bersedia.

"Saya lebih fokus dan bekerja keras di dalam sesi latihan. Perlawanan (menentang Iraq) sudah semakin dekat, jadi bila perlawanan itu bermula nanti, kami mahu lebih bersedia.

"(Insiden final Sukan SEA 2017) Saya sudah lupakan dan saya ada azam tahun baru," katanya yang tertumbuk bola ke gawang sendiri pada final Sukan SEA ketika tewas 1-0 kepada Thailand.

1526 dibaca
Berita Harian X