Rabu, 13 Disember 2017 | 11:37pm
MENTERI Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan akui masih belum dapat pemain import. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Negeri Sembilan belum temui import berwibawa

SEREMBAN: Pengalaman sebelum ini mengajar Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) supaya lebih berhati-hati dalam memilih pemain import bagi memperkuatkan skuad Hobin Jang Hobin, musim depan.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setakat ini pihaknya belum menandatangani seorang pun pemain import.

"Memang ada beberapa pemain import yang sudah dan sedang diuji oleh pengurusan pasukan, tapi setakat ini kita (PBNS) belum lagi mengikat (menawarkan) kontrak kepada mereka.

"Kita tidak perlu tergesa-gesa memilih pemain import. Lagipun, kita belum menemui pemain yang benar-benar berwibawa, malah kita tidak mahu mengambil pemain yang sudah ditolak pasukan lain.

"Sebaiknya, kita mengambil mereka daripada kalangan yang terbaik. Tambahan pula liga musim depan hanya bermula Februari 2018 dan masih ada lagi masa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Musim 2017, Negeri Sembilan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana menggunakan khidmat empat pemain import iaitu Marko Simic dari Croatia sebelum digantikan dengan Jonathan Behe (Perancis), Lee Andrew Tuck (England), Bruno Suzuki (Jepun) dan Nemanja Vidic dari Serbia.

Bagaimanapun, kehadiran mereka gagal membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan liga dan melayakkan diri secara automatik ke saingan Liga Super walaupun Bruno menjaringkan 13 gol dalam tiga pertandingan iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Mengenai persiapan pasukan musim depan, Mohamad mengakui beliau hanya sekadar memantau dan tidak terbabit secara langsung dengan pengurusan pasukan itu.

"Semua urusan (pemilihan pemain) terletak di bawah jawatankuasa pengurusan pasukan. Saya yakin mereka akan mengambil kira semua aspek bagi membentuk pasukan yang mantap," katanya.

1103 dibaca
Berita Harian X