Khamis, 7 Disember 2017 | 7:15pm
KETUA Pegawai Eksekutif Footbal Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam sedia bantu pasukan sahkan pemain import. - Foto BERNAMA

FMLLP sedia bantu sahkan import

Kuala Lumpur: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), sedia membantu mana-mana pasukan Liga Super untuk mengesahkan status kelayakan pemain import jika mereka berminat untuk menggunakan import kelima musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, seandainya mereka tidak pasti dengan status pemain import kelima sama ada menepati syarat yang ditetapkan, mereka boleh menghantar dokumen berkaitan untuk memohon pengesahan daripada FMLLP terlebih dulu.

"Kita boleh tolong untuk menyemak sama ada pemain import kelima yang mahu didaftarkan itu benar-benar layak mengikut syarat yang kita tetapkan sebelum ini kerana kita tidak mahu masalah berlaku di kemudian hari.

"Sebabnya kita khuatir jika mereka sudah tandatangani pemain itu terlebih dahulu namun tidak dapat mendaftarkan pemain itu kerana tidak cukup syarat, mereka akan kata itu sebagai agenda FMLLP yang sengaja menghalang mereka daripada menguatkan pasukan mereka.

"Jadi, kita sedia membantu mereka membuat pengesahan supaya tidak mahu perkara sebegitu berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam masa sama, Kevin turut mengesahkan perbincangan sudah dilakukan dengan lembaga pengarah untuk melonggarkan syarat pemain import kelima itu yang ketika ini memerlukan mereka memiliki sekurang-kurangnya 30 kap bersama skuad kebangsaan mereka.

"Matlamat utama pengenalan kuota pemain import kelima ini adalah supaya kehadiran mereka menarik minat penyokong daripada luar sekali gus membantu meningkatkan aspek komersial.

"Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk beri kelulusan kepada pemain terbabit walaupun tidak ada 30 penampilan bersama skuad kebangsaan mereka, jika matlamat asal itu dapat dicapai dengan penyertaan mereka dalam Liga Super," katanya.

Sebelum ini, badan pengendali liga itu membenarkan pasukan yang bertanding dalam Liga Super untuk mendaftarkan lima pemain import dengan satu kuota baharu yang diperkenalkan adalah untuk pemain import daripada Asia Tenggara (ASEAN).

970 dibaca
Berita Harian X