Selasa, 28 November 2017 | 9:14pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Nasriq Baharom (kanan) terus kekal bersama pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. - Foto Hazreen Mohamad

Nasriq pilih terus kekal bersama Negeri Sembilan

SEREMBAN: Biarpun mendapat tawaran beberapa pasukan lain, namun kapten Negeri Sembilan, Mohd Nasriq Baharom membuat keputusan untuk terus kekal bersama pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M)

musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kesetiaannya untuk bersama skuad Hobin Jang Hobin masih menebal biarpun tidak dapat membantu pasukan itu naik ke saingan Liga Super sepertimana yang disasarkan pihak pengurusan Persatuan

Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Sebaik kontrak musim ini tamat, saya ditawarkan PBNS untuk menandatangi kontrak baharu bagi musim depan dan selepas memikirkan semasak-masaknya, saya bersetuju untuk terus kekal semusim lagi.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya pengurusan pasukan yang cekap selain aspek kebajikan terhadap pemain dan pandangan keluarga.

"Walaupun diakui, saya dan rakan sepasukan gagal membawa Negeri Sembilan layak ke saingan Liga Super musim depan sepertimana yang ditetapkan, tetapi peluang yang diberikan oleh pihak PBNS, tidak harus saya ketepikan," katanya

di sini, hari ini.

Mohd Nasriq mula menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2016 selepas berpindah daripada pasukan FELDA United FC dan kontrak baharu itu bermakna dia akan memasuki tahun ketiga bersama skuad Rusa.

Dia yang beraksi di posisi pertahanan diberikan tanggungjawab berat selaku kapten bermula musim 2017 oleh pengendali Mohd Asri Ninggal yang dibantu Pengarah Teknikal, Jorg Steinebrunner.

Mengulas mengenai kedudukan Negeri Sembilan yang berkemungkinan berpeluang dapat beraksi di Liga Super musim 2018, pemain berpengalaman kelahiran Kuala Selangor itu berkata, pihaknya amat gembira jika benar apa yang disebarkan

pihak media.

Menurutnya, niat asalnya ketika mula bersama pasukan itu adalah untuk membantu mencapai impian berkenaan tetapi masih gagal apabila musim 2017 sekadar menamatkan saingan Liga Perdana di tempat keempat.

"Jika benar Negeri Sembilan dapat beraksi di Liga Super musim depan, ia adalah rezeki dan secara peribadi, saya amat bersyukur.

"Namun, jika pasukan terus kekal beraksi di Liga Perdana, saya berharap kami dapat membentuk pasukan yang lebih mantap musim 2018, bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai," katanya.

1227 dibaca
Berita Harian X