Jumaat, 27 Oktober 2017 | 11:26pm
PEMAIN dan pegawai Kuala Lumpur, meraikan kemenangan menjuarai Liga Perdana 2017 walaupon tewas 1-3 keatas pasukan JDT II, selepas perlawanan Liga Perdana di Stadium Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KL juara, Terengganu lepas peluang

PASIR GUDANG: Kuala Lumpur tetap muncul juara Liga Perdana musim ini walaupun tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi terakhir di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Skuad kendalian Fabio Joaquim Maciel bernasib baik apabila pencabar utama mereka, Terengganu turut tewas 1-3 kepada PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.

Kuala Lumpur dan Terengganu berkongsi 47 mata di kelompok dua teratas liga, namun skuad The City Boys dinobatkan sebagai juara selepas memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding skuad Penyu.

Pada aksi itu, tuan rumah menyentap semangat Kuala Lumpur yang memasang impian memburu kemenangan apabila Jeronimo Barreles menanduk masuk bola hantaran Samuel Caceres seawal minit ketiga.

Pelawat sekali lagi dikejutkan dengan jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-20 berpunca daripada percubaan Syahrul Azwari Ibrahim yang terkena tiang sebelum D Saarvindran yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang.


PEMAIN JDT II, Nicalos Alberto (kanan) diasak pemain KL, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (tengah) pada perlawanan Liga Perdana du Stadium Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tuan rumah tampak melenyapkan sisa perjuangan skuad The City Boys selepas bola sepakan percuma Fernandez pada minit ke-59 tepat menuju ke penjuru kiri gawang untuk menewaskan penjaga gol, Kamarul Effandi Abd Rahim buat kali ketiga.

Pelawat yang begitu terdesak memburu gol berjaya meraih sepakan penalti pada minit ke-62 selepas Daniel Sang Ting menjatuhkan Azmeer Yusof dan peluang itu disempurnakan Guilherme De Paula.

Namun, pada minit ke-64, aksi panas tercetus apabila kedua-dua pasukan terbabit dalam pergaduhan yang memaksa pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada Daniel dan Na'im Nazmi.

Sementara itu, di Ipoh, PKNP bangkit daripada ketinggalan untuk mengecewakan skuad Penyu yang mensasarkan kemenangan untuk menjuarai Liga Perdana.

Terengganu membuka tirai jaringan menerusi Kipre Tchetche seawal minit keenam sebelum PKNP bangkit dengan tiga gol pada babak kedua.

Jaringan PKNP disumbangkan Gilberto Fortunato pada minit ke-51 sebelum Kim Hyun-Woo meledak dua gol pantas pada minit ke-65 dan 67.

1860 dibaca
Berita Harian X