Khamis, 14 September 2017 | 4:00pm
PASUKAN Harimau Malaya akan menentang Korea Utara di Pyongyang pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019, 5 Oktober ini. - Foto Khairunisah Lokman

Piala Asia: Harimau Malaya akan beraksi di bumi Korea Utara

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meneruskan aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang, 5 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihak AFC memutuskan tiada ancaman keselamatan selepas perlawanan antara Korea Utara dan Lubnan pada 5 September lalu di venue berkenaan, sekali gus selamat untuk aksi Kumpulan B, pusingan kelayakan ketiga antara Malaysia dan pasukan tuan rumah.

"Kita akan ke sana ikut arahan AFC. Saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John dan setakat ini venue itu masih selamat untuk kita.

"Kita di FAM pun telah membuat persiapan untuk bermain di sana dan akan terus ke Hong Kong selepas itu.

"Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pun dah berkenaan dengan keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman senarai pemain ke Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Kedua di Busan, Korea Selatan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan AFC akan terus memantau perkembangan di negara itu dan sekiranya terdapat faktor-faktor yang membahayakan keselamatan, tarikh perlawanan atau venue masih boleh diubah.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu yang pada awalnya dijadualkan pada 28 Mac lalu di Pyongyang ditunda ke 8 Jun selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan itu berlanjutan, aksi terbabit sekali lagi ditunda ke 5 Oktober ini, hanya lima hari sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober.

Malaysia yang membuka kempen kelayakan terakhir itu dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September di Stadium Hang Jebat, kini menduduki tempat terakhir antara empat pasukan di Kumpulan B dengan satu mata.

Lubnan berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti oleh Korea Utara di tempat kedua menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi dua mata dengan Hong Kong.

Dengan berbaki empat perlawanan, Malaysia perlu mencapai kedudukan dua teratas untuk layak ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dijadualkan bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2019. - BERNAMA

663 dibaca
Berita Harian X