Khamis, 14 September 2017 | 3:36pm
ULISSES Morais mengambil pendekatan berhati-hati apabila berdepan Melaka United pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam esok. - Foto Hairul Anuar Rahim

Piala Malaysia: Sikap sambil lewa boleh bawa padah - Morais

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais mengambil pendekatan berhati-hati apabila berdepan Melaka United (MU) pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Malah, Morais tidak menafikan betapa Melaka United yang dibarisi hampir 50 peratus pemain baharu dan turut dibimbing pengendali baharu mampu memberi ancaman seandainya kesebelasan utama JDT mengambil sikap sambil lewa pada pertemuan itu.

Katanya, kemenangan amat dicari apabila bertandang ke gelanggang lawan bagi membawa bekalan selesa dan akan membariskan barisan pemain terbaik untuk melaksana misi memburu kemenangan.

"Sebelum ini kami membuat persiapan tanpa kelibat Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Aidil Zafuan Abd Radzak, Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok kerana bersama skuad Harimau Malaya dan kini mereka sudah menyertai latihan untuk membolehkan saya membariskan kesebelasan terbaik.

"Walaupun MU tewas 5-3 di tangan UiTM FC pada aksi terakhir saingan kumpulan, saya tidak anggap pasukan itu lemah, mungkin mereka menyimpan tenaga untuk berdepan JDT dan semua tahu mana-mana pasukan yang menentang JDT akan turun habis-habisan dan kita juga harus berjaga-jaga.


PEMAIN JDT perlu sentiasa fokus dan tidak hilang tumpuan berdepan Melaka United pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam esok. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Untuk aksi suku akhir pertama, ia perlawanan pertama bagi saya menentang MU dan segala maklumat berhubung kekuatan pasukan itu dikongsi oleh Raul Longhi dan Ismail Ibrahim yang sudah berpengalaman membimbing JDT menentang pasukan itu pada aksi Liga Super," katanya.

Morais juga mampu menarik nafas lega apabila skuad Harimau Selatan bebas daripada kecederaan dan penggantungan.

Berkenaan MU kendalian Eduardo Almeida, Morais melihat mereka memiliki barisan pemain yang hebat terutama kelibat pemain dari Korea Selatan, Jeon Woo-young yang beraksi di posisi tengah dan mampu beri ancaman kepada JDT.

"Apa yang pemain JDT harus lakukan ialah sentiasa fokus dan tidak hilang tumpuan dalam perlawanan itu kerana kita tidak boleh pulang tanpa membawa bekalan selesa. Saya optimis barisan pemain sudah bersedia memberi tentangan pada aksi itu nanti," kata Morais.

775 dibaca
Berita Harian X