Khamis, 14 September 2017 | 2:48pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Pantai, Datuk Rosmadi Ismail (tiga kanan) bersama pemain pada majlis Pengumuman Senarai Pemain Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Ke-2 Busan di Hotel Intekma, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Tunggakan gaji: FAM arah serah afidavit

SHAH ALAM: Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sudah mengarahkan Kuantan FA dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyerahkan afidavit kepada badan induk itu untuk tindakan susulan berhubung kegagalan Kuantan FA melunaskan gaji pemain mereka.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan terdapat sedikit kekeliruan mengenai laporan yang mendakwa kelab berkenaan gagal membayar gaji pemain hampir 11 bulan sejak November, tahun lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada bahagian Undang-undang FAM, tunggakan gaji hanya membabitkan tempoh empat hingga lima bulan saja dan membabitkan empat pemain.

"Saya dimaklumkan oleh Bahagian Undang-undang (FAM) petang mengenai isu Kuantan FA dan ia tidak seperti yang digambarkan media.

"PFAM ada menghantar aduan pada 28 Ogos lalu kepada kami.

"Daripada laporan itu, cuma beberapa bulan saja gaji tidak dibayar serta membabitkan empat pemain, bukan seluruh pasukan," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman nama 10 pemain yang akan beraksi di Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa ke-2 di Busan, Korea Selatan, hari ini.

Menerusi laporan akhbar tempatan sebelum ini, Kuantan FA didakwa gagal membayar gaji hampir 11 bulan sekali gus mencipta rekod baru Liga Malaysia (Liga M) apabila menjadi pasukan pertama yang gagal melunaskan gaji pemain dalam tempoh lama.

Sumber Kuantan FA berkata, perkara itu sangat buruk apabila sesetengah pemain terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan.

Difahamkan, ada di antara pemain yang terpaksa bekerja sebagai posmen dan membuka kedai mencuci kereta.

"Kita sudah minta kepada PFAM dan Kuantan FA untuk serahkan afidavit bagi tindakan susulan.

"FAM hanya akan bertindak berdasarkan aduan yang kita dapat daripada pemain serta PFAM," katanya.

866 dibaca
Berita Harian X