Khamis, 14 September 2017 | 7:48am
JOAQUIN Correa selepas menjaringkan gol ketika perlawanan menetang Liverpool pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
JURGEN Klopp bercakap dengan Philippe Coutinho ketika bersiap untuk bermain dalam perlawanan bola sepak Kumpulan E Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool dan Sevilla di Anfield di Liverpool. - Foto AFP

Sevilla ikat Liverpool

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terus menerima tamparan selepas menyaksikan satu lagi aksi lemah di barisan pertahanan memaksa pasukannya sekadar seri 2-2 dengan Sevilla, pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ini ialah penampilan kedua buat The Reds dalam tempoh lapan tahun dalam kancah Liga Juara-Juara dan pada aksi pagi tadi, mereka mencipta banyak peluang, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Gol Sevilla terhasil menerusi kesilapan barisan pertahanan, malah kegagalan Roberto Firmino menyempurnakan sepakan penalti juga menyebabkan Liverpool terpaksa berpuas hati untuk sekadar berkongsi mata.

Dalam aksi pagi tadi, Ben Yedder mengejutkan pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol untuk Sevilla seawal minit kelima apabila bijak menyempurnakan hantaran silang di dalam kotak penalti.

Firmino kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-21, juga melalui tolakan mudah hasil hantaran bola silang Alberto Moreno dari sebelah kiri.


MOHAMED Salah menjaringkan gol kedua untuk Liverpool. - Foto Reuters

Mohamed Salah meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-37, apabila bola percubaannya terkena pertahanan lawan dan melantun masuk ke dalam gawang ketika penjaga gol sudah pun tersalah agakan.

Namun, Joaquin Correa berjaya menyamakan kedudukan di babak kedua, (minit ke-72) sekaligus menghalang Liverpool meraih mata penuh dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Klopp berkata, beliau gembira dengan banyak perkara sepanjang perlawanan ini namun tidak dengan dua gol pasukan lawan.

"Sepanjang 85, 86 minit perlawanan, pasukan bermain dengan baik ketika menentang lawan yang turut bermain dengan baik. Kami ada jawapan untuk segala-galanya kecuali jaringan.

"Keputusan seri bukan sesuatu yang terlalu bagus, namun saya berpuas hati dengan sebahagian besar prestasi dipamerkan pemain," kata Klopp.

Malah pengurus dari Jerman itu turut menafikan beliau menjadi dalang apabila pengadil melayangkan kad merah kepada jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo.

"Saya tidak fikir yang saya buat keputusan kepada pengadil. Saya tidak minta pun."

Dalam masa sama, kapten Liverpool, Jordan Henderson mempertahankan Firmino yang gagal menyudahkan sepakan penalti.

"Sebelum ini, dia pernah menyempurnakan penalti buat kami. Pemain akan sentiasa berdepan risiko kegagalan ketika sepakan penalti.

"Kami memiliki banyak peluang, jadi kami perlu lebih cekap untuk tiga atau empat perlawanan selepas ini." - Reuters

2240 dibaca
Berita Harian X