Rabu, 13 September 2017 | 10:33pm
BADDROL Bakhtiar (depan) mengingatkan rakan sepasukan supaya kekal fokus dan berazam memburu kemenangan selesa menghadapi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, Jumaat ini. - Foto Aziah Azmee

Kemenangan untuk Almarhum Sultan Kedah - Baddrol

KUALA LUMPUR: Tonggak tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar mengingatkan rakan sepasukan supaya kekal fokus bagi menghadapi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, Jumaat ini, biarpun masih sedih dengan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Isnin lalu.

Pemain Harimau Malaya itu berkata, berita kemangkatan baginda cukup mengejutkan pemain Kedah yang kini berazam memburu kemenangan selesa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk didedikasikan kepada peminat nombor satu Hijau Kuning berkenaan.

Bagi Baddrol, kemangkatan baginda satu kehilangan yang amat besar buat bola sepak di negeri itu.

"Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada masa kami sedang bersiap-siap untuk mempertahankan Piala Malaysia dimenangi musim lalu sangat menyedihkan.

"Almarhum Tuanku akan sentiasa berada di mana-mana perlawanan dan sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain.

"Malah, baginda juga sering memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada kami tidak kira menang atau tewas. Untuk aksi suku akhir nanti, kami mahu cari kemenangan buat Almarhum Tuanku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedah yang memburu gelaran berganda selepas menjuarai Piala FA menewaskan Pahang 3-2 pada Mei lalu selain memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim menyaksikan mereka kini dalam laluan untuk mempertahankan Piala Malaysia sekali gus menjuarainya buat kali kelima.

Anak buah Nidzam Adzha Yusoff itu mara ke peringkat lapan terbaik selepas muncul juara Kumpulan C dengan meraih 15 mata untuk bertemu Selangor yang sekadar menamatkan saingan Kumpulan D di tangga kedua.

Baddrol yang sudah mengecapi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik dan antarabangsa, mengakui Almarhum pernah menasihatkannya agar menjaga disiplin dan prestasi.

"Almarhum Tuanku sering membantu secara menyeluruh, terutama dalam memberi nasihat serta teguran yang membina terhadap pasukan, termasuklah saya," katanya.

2608 dibaca
Berita Harian X