Selasa, 12 September 2017 | 1:26pm
NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah sedia terajui The Red Warriors (TRW). - Foto Muhammad Sulaiman

Beri laluan kepada saya - Mohamad Nasir

KOTA BHARU: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohamad Nasir Hamzah meminta calon lain memberi laluan kepadanya menerajui badan induk itu.

Mohamad Nasir yang dicalonkan bersama seorang lagi Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk bertanding jawatan Presiden KAFA berkata, permintaan itu dilakukan bagi mengekalkan tradisi tanpa pertandingan bagi kerusi nombor satu badan induk itu.

"Saya yakin saya calon paling layak untuk memacu The Red Warriors (TRW) kembali bangkit daripada prestasi terumbang-ambing ke arah kecemerlangan musim depan.

"Malah, saya tetap menyahut cabaran dan meneruskan hasrat bertanding jawatan presiden, malah tidak kisah siapa lawan yang bakal dihadapi serta bersedia memikul tanggungjawab besar memimpin KAFA.

"Walaupun berpengalaman memegang jawatan sebagai Naib Presiden KAFA, bagi saya ia berbeza dengan tugas presiden yang memerlukan komitmen lebih tinggi dalam melaksanakan tugas," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Nasir berkata beliau mengharapkan perwakilan yang terdiri daripada 52 wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) akan memilih calon berkemampuan menyelesaikan beberapa kemelut yang dihadapi KAFA dalam Kongres Agung Tahunan Ke-63 pada 17 September ini.

"Pemilihan calon presiden berkaliber bakal menentukan hala tuju dan masa depan KAFA yang akhir-akhir ini mengalami detik suram," katanya.

Ditanya mengenai keputusan Tan Sri Annuar Musa yang tidak berminat bertanding jawatan itu, Mohamad Nasir berkata beliau menghormati keputusan Penasihat KAFA itu sekali gus memberi laluan kepada muka baharu.

Beliau berkata, Annuar seorang yang berpengalaman dalam sukan dan sayangkan bola sepak tempatan.

2799 dibaca
Berita Harian X