Isnin, 11 September 2017 | 7:17pm
AKSI penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah) diasak keras oleh pertahanan Everton, Ashley Williams pada saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, semalam. - Foto AFP

Kane yakin Spurs mampu julang mahkota EPL

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane mengakui pasukan itu bersedia untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi, selepas kemasukan beberapa muka baharu musim ini.

Kelab berpangkalan di London itu memperaga aksi tidak konsisten pada pembukaan musim ini apabila tewas di tangan Chelsea dan seri ketika bertemu Burnley, namun bangkit membenam Everton 3-0, hujung minggu lalu.

Tottenham hanya membawa masuk beberapa muka baharu di penghujung jendela perpindahan apabila menandatangani Davinson Sanchez, Serge Aurier serta Fernando Llorente dan situasi itu membuatkan Kane yakin mereka kembali sebagai pencabar kejuaraan musim ini.

"Orang jarang bercakap mengenai kami, jadi kami hanya akan melakukan kerja kami dan menghasilkan persembahan yang begitu baik seperti hari ini (ketika bertemu Everton)," kata Kane yang meledak dua gol pada aksi di Goodison Park itu.

"Banyak kelab berbelanja besar untuk mendapatkan pemain terbaik. Namun kami tetap berjaya mendapatkan pemain yang kami mahukan walaupun hanya berbelanja pada penghujung jendela perpindahan.

"Jadi kami memiliki skuad yang lebih baik musim ini. Kami mempamerkan permainan yang baik dan menjadi pencabar kejuaraan liga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dan kami akan terus menjadi pencabar musim ini."

Kane yang sudah meledak 100 gol buat Spurs masih menunggu trofi pertamanya meskipun merangkul anugerah individu iaitu Anugerah Kasut Emas untuk dua musim berturut-turut.

"Itulah sasaran utama saya ketika ini. Memang bagus untuk memenangi anugerah individu tetapi saya tetap mahu memenangi trofi bersama kelab." - AFP

498 dibaca
Berita Harian X