Isnin, 11 September 2017 | 7:01pm
AKSI pemain tengah Man Utd, Ander Herrera cuba dihalang bekas rakan sepasukan Darren Fletcher (kanan) ketika menentang Stoke City di Stadium bet365, kelmarin. - Foto REUTERS

Herrera lebih utamakan kemenangan

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera menegaskan kejayaan berpasukan lebih menjadi keutamaannya, meskipun mengakui agak kecewa kerana diturunkan musim ini.

Pemain tengah Sepanyol itu hanya beraksi dalam kesebelasan utama ketika bertemu Stoke City minggu lalu, selepas diketepikan Nemanja Matic musim ini.

Namun, Herrera mengakui kegagalan The Red Devils meraih kemenangan ke atas Stoke City adalah lebih mengecewakan berbanding situasi dihadapinya ketika ini.

"Saya sentiasa bersedia untuk beraksi dan ia tidak pernah berubah. Saya adalah pemain yang mementingkan semangat berpasukan dan sentiasa bersedia jika pengurus memerlukan saya pada bila bila masa," katanya.

Herrera sudah mengintai untuk berada dalam kesebelasan utama ketika United bertemu Basel pada aksi pertama Liga Juara-Juara pada Disember 2015.

"Kami sudah bersedia tetapi kami perlu menghormati setiap lawan dan sedar bahawa kami layak ke saingan terbabit sebagai juara Liga Europa.

"Kami pasukan yang besar dan mungkin juga yang terbesar di dunia, tetapi kami tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara musim lalu.

"Kami mahu bersaing dalam setiap kejuaraan yang ada. Kami memenangi tiga trofi musim lalu tetapi kami tidak memberikan saingan untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juga Liga Juara-Juara.

"Kerana itu, kami perlu merendah diri dan mengambil setiap perkara selangkah demi selangkah." - AFP

1002 dibaca
Berita Harian X