Isnin, 11 September 2017 | 12:19pm
JOSE Mourinho mahu laksana tugas dengan cemerlang bersama United.

Mourinho mahu kembalikan magis Old Trafford

MANCHESTER: Sebelum ini, Jose Mourinho pernah membuatkan Old Trafford sepi dan terdiam namun kali ini pengurus Manchester United itu memiliki tanggungjawab berbeza untuk mengembalikan sorakan di venue berkenaan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Awal pagi Rabu ini, Red Devils akan membuka tirai aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan menerima kunjungan Basel.

Pada 2004, Mourinho yang membimbing Porto menyingkirkan United pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan melakukannya sekali lagi bersama Real Madrid pada 2013.

Pentas Liga Juara-Juara sentiasa jadi pertandingan yang menyerlahkan kelibat Mourinho dan beliau sendiri mula berbicara mengenai peluangnya melepasi rekod Alex Furguson selaku pengurus paling berpengalaman.

"Saya tahu yang saya kini berada dalam kelompok lima atau enam teratas. Ia masih lagi jauh berbanding kedudukan nombor satu. Apa pun saya akan berjuang untuk mencapai rekod itu.

"Musim lalu, saya tidak berpeluang (United beraksi di Liga Europa) namun Manchester sentiasa berada di tempat sepatutnya," katanya merujuk kepada 133 perlawanan dihadapinya di Liga Juara-Juara berbanding Ferguson, 194 kali.

"Aksi Liga Juara-Juara sentiasa jadi detik yang cukup unik buat semua orang. Saya memiliki beberapa pemain yang masih belum ada pengalaman hebat ini. Jadi saya fikir ia sesuatu yang baik buat mereka." AFP

3586 dibaca
Berita Harian X