Rabu, 6 September 2017 | 5:57pm
PENYOKONG bola sepak Kelantan menyambut baik hasrat Bibi Ramjani Ilias Khan yang tampil menawar diri bagi merebut jawatan Presiden KAFA. - Foto Ihsan Bibi Ramjani Illias

Kelab penyokong yakin kemampuan Bibi Ramjani

KOTA BHARU: Kesediaan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan menerajui kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) disokong beberapa kelab penyokong pasukan The Red Warriors (TRW).

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Mohd Yahya Yamada Ali, berkata penyokong sentiasa terbuka kepada sesiapa yang berani mengambil tanggungjawab mengisi kekosongan kerusi Presiden KAFA terutama usahawan yang mempunyai kewangan stabil.

"Penyokong tiada masalah dan kami menyambut baik tujuan Bibi Ramjani yang mahu melihat pasukan Kelantan terus bersaing dalam Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata kelebihan seseorang untuk menerajui sesebuah pasukan bukan hanya terletak pada pengetahuannya dalam bola sepak, malah apa yang paling penting adalah kemampuannya mengurus pentadbiran dan dana persatuan.

Katanya, pengetahuan dalam bola sepak dapat dikukuhkan jika sesebuah pentadbiran diurus dengan baik termasuk menyediakan dana yang mencukupi untuk setiap musim.

"Memang dahulu, bola sepak didominasi lelaki, namun kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah membuka ruang kepada wanita untuk menyertai pengurusan bola sepak dunia," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berkata beliau tidak menyangka ramai calon yang menawarkan diri untuk mengisi kekosongan kerusi Presiden KAFA.

Ditanya mengenai hasrat Bibi, Mohd Faizal berkata jika usahawan wanita itu mampu menggalas tanggungjawab yang berat tiada sebab untuk pihaknya tidak menyokong.

"Jika dia (Bibi) terpilih, saya berharap nasib pasukan Kelantan pada musim depan dapat diperbaiki," katanya.

3143 dibaca
Berita Harian X