Ahad, 13 Ogos 2017 | 10:44pm
PEMAIN Tottenham Hotspur, Dele Alli (tengah) meledak gol pembukaan Spurs ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle di Stadium St James Park, malam tadi. - Foto EPA

Tottenham langkah kanan di St James Park

NEWCASTLE: Tottenham Hotspur memanfaatkan kekurangan Newcastle United yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk melakar kemenangan 2-0 dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Tanpa banyak aksi menarik pada separuh masa pertama di St James Park, Tottenham memperoleh kelebihan empat minit selepas permainan bersambung apabila Jonjo Shelvey dilayangkan kad merah kerana mengasari Dele Alli.

Ketika Alli sedang terduduk selepas dikasari, Shelvey yang tampak tidak sabar untuk mengambil bola dengan sengaja memijak kaki pemain kebangsaan England itu di hadapan pengadil lantas dilayangkan kad merah.


PENGADIL perlawanan, Andre Marriner melayangkan kad merah kepada pemain Newcastle United, Jonjo Shelvey selepas beliau dilihat sengaja memijak kaki Dele Alli pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto REUTERS

Kelebihan itu jelas digunakan Tottenham apabila meledak gol pertama pada minit ke-61 menerusi Alli yang bijak memanfaatkan hantaran Christian Eriksen di depan gawang Newcastle.

Sembilan minit kemudian, gawang Newcastle yang dikawal Robert Elliot sekali lagi bocor apabila gerakan menarik Eriksen dimanfaatkan sepenuhnya Ben Davies untuk jaringan kedua Spurs.

Sekalipun tampak tertekan, Newcastle yang kembali ke saingan EPL musim ini turut beberapa kali menguji gawang Tottenham di hujung permainan, namun berjaya dihalang penjaga gol Hugo Lloris selain penyudah yang tumpul.

Tottenham yang juga naib juara EPL musim lalu turut berpeluang menambah jaringan di masa kecederaan tetapi penjaring terbanyak EPL musim lalu, Harry Kane menyaksikan percubaannya sekadar menggegar tiang. - AFP

542 dibaca
Berita Harian X