Ahad, 13 Ogos 2017 | 4:04pm
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak bawah 22 Singapura tiba di KLIA bagi menghadapi Sukan Sea KL2017 di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Singapura perlu lepas dua halangan awal: Tardy

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bola sepak lelaki Singapura Richard Tardy bimbang kempen skuad kendaliannya di Sukan SEA akan berakhir menjelang Rabu selepas diundi bertemu Myanmar dan Malaysia dalam dua perlawanan pertama Kumpulan A.

Jurulatih dari Perancis itu, yang tiba lewat ke sidang media pra-perlawanan hari ini berkata, Singapura perlu mendapat keputusan baik daripada dua perlawanan pertama untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

"Tiada positif atau negatif, kami perlu bermain sebagai satu pasukan," kata Tardy berkenaan perlawanan pembukaan menentang Myanmar di Stadium Selayang esok dan bertemu tuan rumah Malaysia di Stadium Shah Alam pada Rabu.

"Kami perlu mendapat keputusan baik menentang dua pasukan ini untuk layak. 50 peratus daripada skuad ini berusia bawah 20 tahun dan ia bukan sesuatu yang mudah. Terlalu banyak tekanan dan harapan disandarkan cukup tinggi."

Singapura, yang turut berdepan Brunei dan Laos di peringkat kumpulan, belum pernah memenangi emas bola sepak Sukan SEA dan kali terakhir mara ke final ialah pada tahun 1989 sebelum tewas 3-1 kepada Malaysia di Stadium Merdeka.

Skuad kendalian Tardy tewas 2-0 di tangan pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, Myanmar dalam kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 di Yangon bulan lalu dan tewas 3-1 kepada Malaysia dalam Piala Dubai Mac lalu.

Selepas gagal mara ke separuh akhir di laman sendiri dua tahun lalu, satu lagi penyingkiran di peringkat kumpulan pasti sukar diterima penyokong bola sepak Singapura.

"Saya harap kami dapat mempamerkan permainan menarik tetapi ia pasti sukar," kata Tardy. "Kami menghormati semua pasukan tetapi tidak ada yang mustahil. Perlawanan pertama kejohanan amat penting dan selepas itu kita lihat bagaimana."

Kebanyakan pemain Singapura datang dari kelab pembangunan Young Lions yang beraksi di Liga Singapura. Antara pemain yang menjadi tumpuan ialah Irfan Fandi, anak legenda bola sepak rantau ini, Fandi Ahmad yang membantu Singapura layak ke final 1989.

Berita Harian X