Ahad, 13 Ogos 2017 | 3:48pm
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak bawah 22 Kemboja tiba di KLIA bagi menghadapi Sukan Sea KL2017 di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kemboja sasar pingat bola sepak

KUALA LUMPUR: Kemboja bertekad melakukan kejutan dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA dengan mensasarkan tempat dalam kelompok empat terakhir.

Kemboja mendapat sentuhan jurulatih Brazil, Leonardo Vitorino yang mensasarkan pingat untuk skuad kendaliannya sebagai persediaan sebelum menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada tahun 2023.

Vitorino dilantik sebagai ketua jurulatih Kemboja Mac lalu, tetapi dalam tempoh singkat itu sudah berjaya membimbing skuad senior menewaskan Afghanistan manakala skuad Sukan SEA negara itu pula mengikat China 0-0 serta menewaskan Filipina 1-0 dalam pusingan kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 bulan lalu.

"Kami memberi tentangan sengit ke atas Jepun (sebelum tewas 2-0), seri dengan China dan menewaskan Filipina dalam kelayakan, jadi ia persiapan yang baik," kata Vitorino dalam sidang akhbar menjelang temasya di ibu negara hari ini.

"Kami datang ke sini untuk mendapatkan pingat tetapi kami mempunyai impian dan kami mampu menjadikannya realiti jika kami bekerja keras."

Kemboja memulakan kempen Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Selayang pada Isnin tetapi jika sasaran Vitorino mahu direalisasikan, mereka perlu mendapat keputusan positif ke atas Vietnam, Thailand, Timor Leste dan Indonesia juga.

"Datang dan lihat Kemboja untuk melihat apa yang kami mampu lakukan," kata Vitorino yang yakin pasukannya mampu layak ke separuh akhir Sukan SEA buat julung kalinya.

"kami mempunyai pemain berusia 16 hingga 18 tahun, kumpulan pemain muda yang mahu merakam sejarah di sini. Kami mahu melepasi pusingan pertama dan saya yakin dengan pasukan saya."

Sekiranya Kemboja mampu mengejutkan pasukan-pasukan pilihan seperti Thailand dan Vietnam, ia adalah satu pencapaian hebat memandang sebelum ini mereka hanya menang lima daripada 46 perlawanan dalam sejarah Sukan SEA, termasuk kemenangan 3-1 ke atas Filipina edisi 2015 untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat keempat.

Empat lagi kemenangan adalah ke atas Laos (tahun 1971), Brunei dan Myanmar (kedua-duanya pada 1997) dan Timor Leste (2009).

Berita Harian X