Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:56pm

Kongres tahunan KAFA pertengahan September

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) akan mengadakan Kongres Agung Tahunan kali ke-63 pada pertengahan bulan depan, bagi tujuan memilih barisan EXCO baharu termasuk presiden.

Kongres berkenaan bakal dihadiri perwakilan dari Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan semua ahli gabungan bola sepak di negeri ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor, berkata notis jemputan akan dikeluarkan minggu depan selepas Jawatankuasa Eksekutif bersidang bagi memenuhi Artikel 27 pecahan dua perlembagaan persatuan.

"Tempoh penggal lantikan Jawatankuasa Eksekutif ini sepatutnya berakhir pada tahun depan, namun KAFA memilih untuk mengadakan pemilihan lebih awal Presiden dan EXCO baharu bagi menggantikan penyandang sedia ada.

"Pemilihan ini bertujuan memberi peluang kepada muka baharu untuk membuat persiapan dan perancangan awal pasukan musim depan agar lebih sistematik, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tindakan KAFA mengadakan kongres tahunan itu lebih awal, Ismail mengakui faktor pemilihan Presiden dan EXCO baharu diharap mampu memikul tanggungjawab yang kian mencabar.

"Saya merayu kepada peminat, ahli kelab dan seluruh rakyat Kelantan yang sayangkan bola sepak negeri tampil menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan dalam barisan kepimpinan yang baharu kelak.

"Kelab gabungan juga diminta bersedia mencalonkan nama yang difikirkan layak dan berkemampuan mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri ini, " katanya.

Berita Harian X