Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:51pm
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak bawah 22 Thailand ketika tiba di KLIA bagi menghadapi Sukan Sea KL2017 di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ibu pingat emas hak kami: Worrawoot

SEPANG: "Kami datang semula ke sini untuk memenangi pingat emas," tegas jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Thailand, Worrawoot Srimaka yang memberi amaran kepada pencabarnya supaya melupakan hasrat untuk merampas kejuaraan daripada mereka.

Skuad juara bertahan itu tiba di Malaysia hari ini dalam misi memburu gelaran hatrik serta kejuaraan ke-16 keseluruhan sejak 1959, dan Worrawot tampak begitu yakin dengan barisan pemainnya kali ini.

"Kami sudah membuat persediaan rapi selama seminggu sebelum datang ke sini. Saya yakin dengan pasukan yang dibentuk ini, kami boleh memenangi pingat emas.


PEMAIN skuad bola sepak bawah 22 Thailand bergambar di KLIA bagi menghadapi Sukan Sea KL2017 di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Bagi saya, semua pasukan dalam Kumpulan B bagus dan boleh memberikan tentangan hebat kepada kami.

"Dan kami tahu kemampuan semua pasukan, sama dengan pasukan lain yang mengetahui kemampuan kami," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pentas Sukan SEA juga bukan asing buat Worrawoot, 46, yang pernah memenangi dua pingat emas di Jakarta pada 1997 dan Brunei 1999 ketika bergelar pemain.

Bekas pemain import Kelantan ini bagaimanapun turut berwaspada dengan ancaman pasukan tuan rumah, Malaysia jika kedua-dua pasukan berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan dan bertemu di separuh akhir.

"Kami menang ke atas Malaysia (3-0) di Bangkok pada kelayakan AFC (B-23) sebelum ini tetapi saya fikir Malaysia tidak memberikan persembahan terbaik.

"Saya fikir perlawanan akan lebih sukar jika kami bertemu sekali lagi di sini," kata Worrawoot.

Skuad Gajah Perang ini akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang Indonesia di Stadium Shah Alam, pada Selasa ini sebelum berdepan Timor Leste, Kemboja, Filipina dan Vietnam.

Berita Harian X