Rabu, 2 Ogos 2017 | 8:24pm
PENYERANG muda Kedah, Muhammad Akhyar Abd Rashid sedia rebut kesebelasan utama skuad B-22. Foto ihsan Facebook Piala Presiden Kedah

KL2017: Akhyar tagih kepercayaan Kim Swee

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi skuad Helang Merah, Muhammad Akhyar Abd Rashid mengakui sudah bersedia untuk sekali lagi memikat hati pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 14 Ogos ini.

Selepas mencetuskan fenomena di Bangkok bulan lalu sehingga mendapat perhatian media antarabangsa, penyerang muda berusia 18 tahun ini berharap untuk terus mendapat kepercayaan Kim Swee kerana sedar peluang bagi mendapat tempat dalam pasukan semakin sengit.

"Memang impian saya untuk bermain di Sukan SEA tapi segala terpulang kepada jurulatih (Kim Swee), cuma saya berharap saya akan dipanggil nanti.

"Peluang agak susah sebab sebelum ini saya hanya dipanggil pada saat akhir untuk menggantikan pemain yang tidak mendapat pelepasan dan sekarang enam pemain itu mungkin akan dipanggil semula.

"Peluang bermain di Bangkok pada pusingan kelayakan AFC (bawah 23 tahun) sebelum ini memang memberikan banyak pendedahan dan keyakinan untuk saya bermain di pentas antarabangsa.

"Ia satu saingan yang berbeza dengan apa yang saya lalui dalam liga tempatan," kata Akhyar - adik kepada bekas pemain kebangsaan dan bekas pemain Kedah serta Perak, Rafdi.

Kelincahan Akhyar ketika beraksi membantu Malaysia B-22 muncul juara Kumpulan H kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok untuk mara ke pusingan akhir di China tahun depan berjaya mencuri perhatian bukan saja peminat tempatan malah media antarabangsa.

Dalam satu laporan Fox Sport Asia, namanya disenaraikan dalam lima pemain muda berbakat dari Asia tenggara yang mempunyai prospek untuk beraksi dalam liga utama Jepun (J.League).

Selain Akhyar, turut berada dalam senarai itu adalah Tristan Do dari kelab Muangthong, Thailand; Chrerng Polroth (NDM, Kemboja); Rufino (AS Academica, Timor Leste) dan Nguyen Cong Phuong (HAGL, Vietnam).

Berita Harian X