Khamis, 13 Julai 2017 | 6:59pm

7 muka baharu tidak kurang hebat - Yusoff


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PETALING JAYA: Jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee kini mempunyai pilihan membentuk pasukan yang kuat di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), berikutan kehadiran tujuh muka baharu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata pemain terbabit menunjukkan semangat yang tinggi apabila disenaraikan dalam skuad B-22 yang dalam persediaan menghadapi kelayakan Kejuaraan Piala AFC B-23 di Bangkok pada 19-23 Julai ini.

"Kita masih mengharapkan enam lagi pemain hadir tetapi dalam masa yang sama kita faham masalah yang dihadapi mereka bersama pasukan.

"Jadi kita tidak meletakkan itu sebagai satu kepentingan dan adalah lebih baik kita titik beratkan dengan pemain yang sudah ada daripada mengharapkan yang belum pasti," katanya yang juga pengurus pasukan B-22.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), hari ini.

Semalam, Kim Swee berjaya mengumpulkan 19 pemain daripada 26 pemain yang dipanggil ke dalam skuad berbanding hanya enam pemain yang menghadirkan diri ke latihan pusat di Wisma FAM, Rabu lalu.

Enam pemain yang masih belum melaporkan diri ialah Sapawi Rashid, Muhd Haziq Nadzli (Johor Darul Ta'zim); Mathew Davies, Mohd Nor Azam Azih (Pahang); S Kumahraan, Syameer Kutty Abba (Pulau Pinang) manakala pemain T-Team, Arif Fadzillah digugurkan berikutan kecederaan.

Berikutan itu, Kim Swee memanggil penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin yang beraksi bersama Sime Darby, Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), Nur Shamie Izsuan Amin (Sarawak), Muhd Akhyar Abdul Rashid (Kedah) dan tiga pemain Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj, L Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi.

Yusoff berkata, kualiti yang ada pada muka baharu itu tidak kurang hebatnya dengan enam pemain yang masih belum melaporkan diri.

Katanya, FAM turut mengambil kira cadangan memanggil balik pemain Malaysia yang berada di luar negara untuk beraksi bersama skuad negara sebagai salah satu cara menghasilkan keputusan terbaik dengan segera.

"Kita tahu peminat pun tidak sabar (untuk kejayaan skuad negara) dan kita akan lakukan sesuatu dengan segera," katanya.

347 dibaca
Berita Harian X