Jumaat, 14 Julai 2017 | 11:20pm

KL belasah Kuantan FA, kekal terajui liga


PEMAIN Kuantan FA, Ljubo Baranin (kanan) di kawal oleh pemain Kuala Lumpur, Bobirjon Akbraov dalam saingan Liga Perdana 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUANTAN: Skuad Kuala Lumpur mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana apabila membelasah Kuantan FA, 6-3 di Stadium Darul Makmur, Pahang sebentar tadi.

Tambahan lima gol pada babak kedua memastikan Kuala Lumpur kekal menerajui liga selepas kedua-dua pasukan 1-1 pada separuh masa pertama.

Pada minit ke-10, Na'im Nazmi Zainudin hampir meletakkan skuad pelawat di hadapan namun bola percubaannya dari dalam kotak penalti terkena palang biarpun penjaga gol, Mohd Sheril Anuar Sani sudah tertewas.

Muhammad Hafiz Mohd Johar berjaya membolosi gawang Kuantan FA pada minit ke-16 sebelum ljobo Baranin menyamakan kedudukan 1-1 dua minit selepas itu dan keputusan kekal sehingga tamat babak pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, pemain import Kuala Lumpur, Paulo Dos Reis kembali meletakkan skuad itu mendahului tuan rumah 2-1 pada minit ke-52.

Guilherme Paula Lecrecio menambah jaringan pada minit ke-68 dan ke-77 diikuti jaringan kedua Ries pada minit ke-79.

Paula Lecrecio melengkapkan hatrik apabila meledak gol ketiga pada minit ke-83, manakala dua lagi gol Kuantan FA dijaringkan Baranin pada minit ke-86 dan Abdul Malik minit ke-88.

138 dibaca
Berita Harian X