Sabtu, 6 Oktober 2018 | 9:01am
Tren ETS antara pilihan pengguna, justeru pihak KTMB perlu mengutamakan kebajikan dan keselesaan penumpang. - Foto hiasan

KTMB perlu prihatin kes penumpang tertinggal dalam tren

Pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu meningkatkan khidmat hospitalitinya, terutama membabitkan kebajikan dan keselesaan penumpangnya.

Saya sebagai pengguna tren KTM amat kesal dengan khidmat diberikan ketika balik ke Ipoh menjelang malam Hari Kemerdekaan dari KL Sentral ke Ipoh, baru-baru ini.

Pada Khamis, 30 Ogos lalu, saya menaiki tren ETS 9052 dari KL Sentral ke Ipoh pada jam 11.05 malam. Sepanjang perjalanan saya ada terlelap beberapa ketika kerana kepenatan. Saya tersedar ketika di Stesen Behrang sebelum terlelap semula. Selepas itu apabila tersedar sekali lagi, saya lihat dalam tren kosong dengan semua penumpang sudah turun dan tinggal saya bersendirian.

Semua pintu terkunci

Ketika itu, lebih kurang pada jam 2.20 ke 2.40 pagi. Saya pergi dari gerabak ke gerabak, tetapi tiada sesiapapun. Saya jadi panik sebab semua pintu berkunci. Saya kemudian cuba mencari nombor telefon yang mungkin boleh saya hubungi apabila berlaku kecemasan, tetapi tiada.

Disebabkan terdesak, saya terpaksa telefon Ibu Pejabat Polis Ipoh. Kira-kira 15 minit kemudian, seorang lelaki muncul dan bertanyakan kepada saya sama ada saya penumpang yang tertinggal itu.

Beliau membawa saya ke gerabak paling depan di mana seorang lelaki lain membawa saya keluar dari tren untuk ke ruang pejabat. Tanpa saya sedari berikutan terlelap dalam tren sebelum ini, rupa-rupanya saya sudah berada di Depot KTM Batu Gajah.

Saya diberitahu bahawa saya bukanlah orang pertama tertinggal dalam tren. Sudah berpuluh-puluh penumpang lain pernah mengalami pengalaman sama. Difahamkan mereka ada mengadu kepada pihak pengurusan KTMB, tetapi tiada sebarang tindakan diambil menyebabkan kes seumpama itu terus berulang.

Pengalaman menakutkan

Saya bernasib baik kerana dengan bantuan polis, saya dapat melepasi pengalaman agak menakutkan itu. Bagaimanapun, saya berterima kasih seorang kakitangan KTMB di Batu Gajah sudi menghantar saya ke rumah bapa saya di Ipoh dan saya hanya tiba di rumah kira-kira jam 4.30 pagi.

Diharapkan pengurusan KTMB prihatin dengan keadaan penumpang yang tertinggal dalam tren terakhir.

Prosedur piawaian perlu diamalkan KTMB dengan memastikan ada petugas yang mengejutkan penumpang tertidur sebelum tiba di destinasi masing-masing.

Pemeriksaan setiap gerabak atau koc sebelum tren dihantar ke depot terakhir juga perlu diambil perhatian demi menjamin keselamatan dan kebajikan penumpang yang menjadi aset utama operasi perniagaan KTMB.

Noorfarah Surina Ahmad,
Kajang

277 dibaca
Berita Harian X