Sabtu, 6 Oktober 2018 | 9:00am
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Laksana segera hukuman sebat pesalah rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, baru-baru ini menyarankan agar hukuman sebat dan penjara mandatori digubal sebagai hukuman bagi kesalahan rasuah.

Sebagai seorang yang cakna dengan isu rasuah yang dilaporkan di media, saya menyokong penuh cadangan ini.

Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian khusus terhadap cadangan ini dan setiap masyarakat seharusnya menyambut baik perkara berkenaan, demi memastikan negara kita bersih daripada rasuah.

Ketika ini, kita sepatutnya berasa sedih kerana masyarakat masih memandang ringan kesan rasuah, apatah lagi dengan hukuman penjara bukan mandatori.

Bayangkan pesalah rasuah boleh tersenyum apabila keluar dari mahkamah selepas dikenakan denda sehari dan denda RM10,000. Ini menunjukkan seolah-olah hukuman ringan ini tidak membawa apa-apa erti kepada mereka.


Keratan akhbar BH 29 September 2018.

‘Ibu’ segala jenayah

Mungkin kita tidak sedar bahawa jenayah rasuah ialah ‘ibu’ segala jenayah dan boleh meruntuhkan serta mengundang ketidakstabilan sesebuah negara.

Misalnya, seseorang penguat kuasa menerima rasuah untuk membenarkan kemasukan dadah, senjata api, pendatang asing tanpa izin dan penyeludupan yang akan menerima kesan buruk ialah masyarakat kerana berisiko dengan kes rompakan, pembunuhan, masalah sosial atau dadah.

Bukan itu sahaja, kesan buruk kepada masyarakat sekiranya sebuah bangunan atau sekolah yang dibina tidak mengikut spesifikasi kerana perbuatan rasuah antara pemaju dan pihak berkuasa, lalu binaan runtuh hingga mengorbankan nyawa.

Bayangkan juga seseorang yang tidak layak memandu kenderaan diberikan lesen memandu kerana bayaran rasuah dan mengakibatkan kemalangan maut.

Ini belum diambil kira kesan rasuah terhadap sistem ekonomi negara, termasuk menjejaskan ekonomi apabila terlampau banyak ketirisan, pembaziran dan penyelewengan projek rakyat.

Kesan rasuah ini amat dahsyat dan tidak boleh dinilai hanya dengan jumlah wang terbabit.

Sekiranya kesalahan jenayah yang membabitkan pecah amanah mengikut Kanun Keseksaan boleh diperuntukkan hukuman sebat selepas disabitkan, jadi mengapa kesalahan jenayah rasuah yang memberi kesan teruk kepada negara dan masyarakat hanya memperuntukkan hukuman ringan, iaitu penjara tanpa mandatori.

Sewajarnya cadangan penjara mandatori dilaksanakan dengan segera demi kebaikan negara dan masyarakat.

IBI,
Putrajaya

138 dibaca
Berita Harian X