;
Rabu, 16 Mei 2018 | 8:06am
- Gambar hiasan

Universiti patut pergiat usaha bantu kebajikan mahasiswa

SEJAK Malaysia mencapai kemerdekaan, penekanan penting sudah diberikan terhadap akses kepada pendidikan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga.

Kerajaan amat prihatin dan akur bahawa pendidikan berupaya mengubah nasib kehidupan seseorang dengan peluang pekerjaan yang lebih terjamin.

Justeru, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan yang kurang berupaya dari segi kewangan melalui pengwujudan biasiswa serta pinjaman pelajaran.

Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 1997, ia banyak membantu pelajar untuk mendapat akses pendidikan tinggi.

PTPTN membantu pelajar membayar yuran pengajian serta menampung kos perbelanjaan harian.

Namun, langkah kerajaan untuk mengurangkan jumlah pembiayaan mendapat reaksi negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Keratan akhbar bertarikh 3 November 2014 menyatakan jumlah pembiayaan PTPTN untuk pelajar di institusi pendidikan tinggi awam dikurangkan lima peratus manakala pelajar di institusi pendidikan tinggi swasta dikurangkan 15 peratus mulai 1 November tahun yang sama.

Pengurangan akan memberi kesan kepada pelajar yang bergantung seluruhnya kepada pembiayaan itu.

Mereka terpaksa mengikat perut akibat pinjaman PTPTN tidak cukup menampung kos sara hidup di universiti seperti perbelanjaan makan, minum, fotokopi nota serta latihan dan membeli buku ilmiah.

Perkara ini dapat dilihat melalui laporan akhbar Sinar Harian yang memaparkan isu mahasiswa tidak cukup makan melalui kajian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia. Kajian itu menunjukkan 18,675 ataupun 75 peratus mahasiswa menyatakan mereka tidak mempunyai duit untuk makan.

Dengan peningkatan kos sara hidup dan pengurangan pembiayaan ini dikhuatiri akan mendatangkan kesan negatif kepada pelajar yang seterusnya memberi kesan kepada pencapaian pendidikan.

Bagi pelajar kurang berkemampuan, masalah kewangan akan membelenggu mereka dan mengganggu pembelajaran. Bagi mengurangkan kesan negatif ini, beberapa universiti melaksanakan pelbagai inisiatif bertujuan membantu mereka yang terhimpit dengan masalah kewangan.

Sebagai contoh, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan Tabung Dermakasih USM bertujuan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan iaitu pelajar yang ibu bapanya mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 ke bawah.

Taja makanan

Selain itu, program kupon makanan tergantung ataupun dikenali sebagai 'Project Suspended Meals' yang dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) juga perlu diberi pujian serta diteruskan secara konsisten.

Melalui program ini, pihak yang menguruskan program akan membeli kupon bernilai RM2 ataupun RM4 dan kemudiannya menampal kupon di satu papan khas untuk dituntut oleh pelajar.

Pelajar kemudiannya boleh menikmati makanan mereka di kafe yang ditetapkan. Program Makanan untuk Mahasiswa yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia juga langkah yang sangat baik.

Melalui program itu, makanan percuma diedarkan kepada pelajar kurang berkemampuan sebanyak tiga kali seminggu.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, program makanan 'April Food' dan juga 'FreeshopUPM' memberi makanan percuma kepada pelajar ialah langkah yang sangat baik dalam usaha membantu pelajar kurang berkemampuan.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia melalui program bantuan makanan dan kebajikan, iaitu pelajar kurang berkemampuan diberi bantuan sebanyak RM300 sehingga RM400 sebulan serta bantuan makanan telah dijalankan.

Usaha semua universiti ini dilihat sangat bagus dan perlu dijadikan contoh kepada universiti lain dalam usaha mereka membantu pelajar mereka yang kurang berkemampuan.

Malah, bantuan kewangan juga boleh didapati di yayasan dan pejabat zakat setiap negeri. Selain bantuan makanan dan kewangan, universiti juga boleh membantu pelajar dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar yang memerlukan.

Pihak universiti juga boleh memberi latihan dan kursus keusahawanan kepada mana-mana pelajar yang berminat supaya dapat memupuk minat mereka untuk berniaga demi mendapatkan wang tambahan.

Nurul Syahirah Jasmi
Kuala Lumpur

352 dibaca
Berita Harian X