Selasa, 8 Mei 2018 | 6:02am

GST untuk kemajuan, tingkat pembangunan negara

ALHAMDULILLAH esok, kita rakyat Malaysia bakal menjalankan tanggungjawab untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ramai rakan-rakan yang tidak sabar untuk keluar mengundi setelah sekian lama berkempen dan 'dikempen'.

Bagi kita yang bukan ahli politik pun terasa penat. Bayangkan apa perasaan ahli-ahli politik yang terbabit secara langsung dalam PRU-14 ini.

Kita menghargai mereka yang secara sukarela mengenengahkan diri untuk bertanding dan berkhidmat kepada rakyat. Tidak kira sama ada menang atau kalah, kedua-duanya memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa keluarga.

Sekiranya menang, sebahagian daripada mereka berpeluang memegang jawatan dalam pentadbiran yang pendapatannya mungkin tidak setimpal dengan tanggungjawab berat yang dipikul. Sekiranya mereka kalah, lagilah berat kerana mungkin terpinggir dari kancah politik negara sekarang-kurangnya selama lima tahun.

Dalam tempoh kempen, pelbagai isu telah dibangkitkan. Antara yang paling kerap dibahaskan adalah Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST. Izinkan saya menyentuh 5 perkara berkenaan GST yang telah diperkenalkan 3 tahun yang lalu pada 1 April 2015:-

i) GST 6 peratus ini menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus. Ia bukan cukai tambahan.

ii) Kadar 6 peratus yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. Sebanyak 160 negara telah melaksanakan GST atau Value Added Tax (VAT). Sebagai contoh, kadar di Singapura 7 peratus, Thailand 7 peratus, Indonesia 10 peratus, Vietnam 10 peratus, Filipina 12 peratus. Di Australia 10 peratus dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20 peratus .

iii) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali daripada GST. Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 dan Diesel.

iv) Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah 'pengimbangan' atau 'offset measures' seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3 peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) dari 20 peratus kepada 19 peratus. Pemberian BR1M isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan juga ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650 manakala isi rumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat kali pertama. Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 dan RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan meringankan impak kenaikan harga barang.

v) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah memperluaskan asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada dua juta pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 30 juta. GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) di mana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada kalangan mereka yang berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah pengukuhan fiskal yang menyasarkan bajet seimbang dalam jangkamasa pertengahan. Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, dll. Ini termasuklah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2022.

Terdapat cadangan untuk menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem percukaian lama iaitu SST. Bagi saya ini suatu langkah yang ke belakang atau 'regressive' dan boleh membahayakan ekonomi. Ini kerana kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 bilion tahun ini berbanding kutipan SST RM17 bilion pada tahun 2014. Sekiranya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (2 peratus daripada KDNK).

Sekiranya Ini berlaku, Kerajaan ada tiga pilihan. Pertama - Menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baru seperti cukai keuntungan modal (Capital Gains Tax). Kedua - Mengurangkan perbelanjaan termasuk perbelanjaan pembangunan. Ini bermakna membatalkan atau menangguhkan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini; atau Ketiga - Meningkatkan defisit fiskal kepada 5 peratus. Semua opsyen berkenaan amat berbahaya kerana boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara kita diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB. Ini sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara.

Saya berharap sistem GST akan dikekalkan. Perhatian boleh diberikan kepada memperbaiki lagi pelaksanaan program dan projek-projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. Ini selaras dengan matlamat model baru ekonomi yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mapan.

Amal prinsip Rukun Negara

Menjelang esok, saya menyeru rakan-rakan mengamalkan 3 perkara berikut :-

i) Keluar mengundi seawal mungkin kerana ini adalah hak kita sebagai warganegara Malaysia.

ii) Jangan membenarkan pendapat politik memecah-belahkan atau mengasingkan keluarga. Silaturahim perlu dikekalkan.

iii) Menerima keputusan dengan hati terbuka, merapatkan saf dan bersatu membangunkan negara.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing, bersikap membina dan menghayati/ mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undangan-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Selamat mengundi dan salam hormat.

Tan Sri Abdul Wahid Omar
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad

793 dibaca
Berita Harian X