;
Selasa, 8 Mei 2018 | 6:01am
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Pakatan Harapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Pejabat Keadilan, Bukit Piatu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Tun Dr Mahathir tidak ikhlas minta maaf

MAJORITI rakyat Malaysia khususnya rakyat Kedah dan penduduk Memali menzahirkan rasa kecewa mereka terhadap kenyataan 'mati katak' terhadap syuhada Memali yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Sejurus selepas itu, beliau membuat permohonan maaf setelah menyedari kata-katanya itu mendatangkan kemarahan kepada kami. Bagi meredakan kemarahan rakyat, Tun M juga telah menziarahi pusara Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden PAS.

Terbaharu, Tun M telah dilarang untuk menziarahi pusara Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mantan Mursyidul Am PAS. Difahamkan larangan itu dibuat oleh keluarga Allahyarham yang tidak mahu program ziarah itu dipolitikkan.

Selaku umat Islam di Malaysia, saya memohon agar parti yang bertanding agar tidak mempertaruhkan ikatan silaturrahim sesama Muslim sebagai modal kempen politik mereka.

Kerendahan pekerti

Tindakan ini hanya akan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat, selain mencerminkan kerendahan pekerti ahli politik itu sendiri yang sanggup menggadai segalanya demi kelangsungan politik mereka.

Berkempenlah dengan jujur, tawarkan apa yang mampu anda tawarkan kepada rakyat dan jangan melampaui batas agama. Janganlah anggap rakyat mudah diperbodohkan.

Ingatlah, sesungguhnya umat Islam itu bersaudara dan tiada parti yang boleh melangkaui persaudaraan itu.

Mat Nayan, Baling, Kedah

1542 dibaca
Berita Harian X