Isnin, 7 Mei 2018 | 7:02am
Projek insinerator yang dicadangkan dibangunkan di tapak pemindahan sementara sampah, Bukit Beringin, Kepong. - Foto Saddam Yusoff

Mungkinkah KTI ada agenda tertentu tolak insinerator

APAKAH dalil kumpulan Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) untuk menyatakan enam kawasan perumahan baharu di Kepong bakal terdedah kepada kesan buruk andai teknologi baharu insinerator bagi pengurusan sampah dilaksanakan.

KTI melalui portal FMT baru-baru ini mendakwa Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Eco Sky, JL99, Mizumi Residence Kepong, Lakeville Residence dan The Henge Residence, terancam. Namun ia tidak pula menyebut sama ada ia hasil kajian terperinci atau cuma serkap jarang.

Lebih daripada itu, timbul keraguan siapa di belakang KTI dan misinya apabila ada pihak di Kepong mendakwa ramai penggerak KTI adalah orang luar yang berselindung di sebalik slogan kitar semula.

Sebelum semua ini terjawab, DAP mengutip apa yang dicanang KTI sebagai modal bahan politik pilihan raya umum sekarang.

Apakah alasan bahawa teknologi baharu menguruskan sisa pepejal domestik di Tapak Pengumpulan Sampah Taman Beringin Kepong sebagai memudaratkan masyarakat Kepong itu benar?

Masyarakat ditakutkan cerita sebelah pihak

Kenapa masyarakat perlu ditakutkan dengan cerita sebelah pihak KTI, sedangkan mereka wajar diberi penjelasan sebenar oleh pakar pengurusan sisa pepejal.

Penduduk terbabit sudah lama sengsara menghidu bau busuk namun ironinya tidak kurang pemaju yang tetap mahu membangunkan kediaman baharu di situ.

Jangan kompromi kepentingan masyarakat Kepong semata-mata kerana kepentingan golongan tertentu yang tidak memikirkan kesejahteraan penduduk.

Kehadiran penduduk enam perumahan baharu pasti menyebabkan sampah bertambah dan membebankan pusat pengumpulan sampah Taman Beringin yang turut menguruskan sisa pepejal sekitar Kuala Lumpur.

Masalah baharu ini wajar ditangani bersama oleh penduduk Kepong dalam membantu pihak berwajib memperkenalkan pelan pengurusan sampah lebih efektif.

Jalan mudah melonggokkan sampah penduduk kota ke kawasan pedalaman yang menjadi tapak pelupusan adalah tidak adil kepada masyarakat di pedalaman yang menanggung kesan buruk pencemaran alam sekitar.

Kita wajar bersikap terbuka bahawa teknologi pengurusan sisa pepejal dunia sudah jauh maju dengan konsep sampah di sesuatu kawasan dilupus di kawasan itu.

Laksana dengan teliti

Justeru, sebarang pelaksanaan teknologi baharu pengurusan sisa pepejal di Kepong boleh dilaksanakan secara teliti dan telus melalui kajian alam sekitar serta mengutamakan aspek kesihatan.

Cuma yang tidak jelas ialah apakah ada pihak mengidamkan keuntungan melalui pembangunan komersial tanah sekitar pusat pengumpulan sampah Taman Beringin Kepong atau bimbang kehilangan pendapatan daripada perkembangan teknologi pengurusan sampah sekarang.

Dalam perkembangan terbaru, pengumuman dibuat secara rasmi mengenai langkah teknologi baharu yang diambil untuk menguruskan sisa pepejal di Selangor dan Melaka.

Namun KTI hanya meletakkan Kepong sahaja dalam 'radar' mereka.

Tidak hairanlah ramai penduduk Kepong sudah mempersoalkan agenda KTI yang kewujudannya tanpa restu mereka.

#JomUndi #kepong #WeAntiKepongIncinerator

1153 dibaca
Berita Harian X