Ahad, 6 Mei 2018 | 6:01am
Anggota tentera kini dapat nikmati kehidupan lebih selesa. - Foto hiasan

Tun M usah ganggu tugas kami jaga keselamatan negara

Jawapan balas surat terbuka Tun Dr Mahathir kepada anggota Polis dan Tentera

HEBAT sungguh Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mencuit hati kami anggota pasukan keselamatan dalam soal pilihan raya kali ini. Sejak bila pula Tun pandai bermadah dan cuba mengajar kami apa perlu kami buat bila berdepan dengan situasi keselamatan.

Tun baharu terjaga daripada lena agaknya atau dia baharu tersedar sudah hilang kuasa selepas membersarakan diri sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa. Atau dia sudah terlupa jasa pasukan keselamatan ketika dia berkuasa dulu.

Maklumlah Melayu Mudah Lupa (ayat ini Tun yang cakap) dan Tun sudah tidak relevan memujuk atau menasihat apa yang perlu kami buat. Lupakah Tun bahawa pasukan keselamatan yang daif zaman Tun inilah yang mempertahankan negara daripada segala ancaman tanpa arahan Tun. Semua kami buat sendiri.

Lupakah Tun...berapa ramai anggota keselamatan yang terkorban dan cacat, isteri kehilangan suami dan anak kehilangan bapa demi mempertahankan negara dan Tun selama 22 tahun di atas takhta.

Lupakah Tun...hanya berbekal semangat kami berjuang berbanding dengan peralatan, logistik, senjata dan komunikasi yang orang kampung cakap 'ciput' yang Tun bekalkan pada zaman Tun berkuasa. Semua peralatan itu hanya layak digunakan oleh negara mundur Dunia Ketiga saja.

Lupakah Tun...siapa yang bersunguh-sungguh memeterai perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1989 semata-mata untuk memperkuatkan kerajaan Tun hingga bersara. Ada Tun ambil kesah? Dengan perjanjian itulah Tun mampu memerintah dan mentadbir dengan aman sehingga disanjung melangit sampai sekarang.

Tun dipuja, sedangkan kami menderita. Gaji pun tak seberapa ketika itu. Berapa kali kami dapat kenaikan gaji pada zaman Tun?

Apa pemodenan pasukan keselamatan yang Tun pernah buat? Berapa banyak bajet yang Tun peruntukkan setiap tahun untuk pasukan keselamatan, sedangkan Tun berbangga dengan berbilion ringgit menaikkan dua tiang batu nisan KLCC dan berbilion lagi mendirikan mahligai di Putrajaya? Ada Tun kisah? Lupakah Tun...siapa yang mempertahankan Tun ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebab kesalahan jenayah rasuah dan seksual. Memang mahkamah sudah buktikan dia bersalah tetapi Tun telah mengaibkan dia dan keluarganya seantero dunia.

Banyak kerosakan yang Anwar buat. Setiap hari demonstrasi dan bakar sana sini bertahun tahun lamanya sehingga Tun berasa aman bersara awal. Kamilah yang bersengkang mata, berpanas dan berhujan, berkorban waktu rehat dan cuti bersama keluarga.

Ada Tun kisah? Tup-tup sekarang Tun berpeluk kembali dengan Anwar demi kelangsungan untuk berkuasa semula. Sia-sia saja pengorbanan kami ketika itu. Terasa nak sumpah seranah Tun tapi kami masih ada iman.

Lupakah Tun...apa yang Tun sudah lakukan dengan Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan terkini Datuk Seri Najib Razak.

Tindak tanduk Tun itu menjadikan politik kucar-kacir, demonstrasi, peningkatan kadar jenayah, gugat ketenteraman awam, dan pelbagai lagi. Siapa yang mempertahankan kerajaan Tun ketika itu? Ada Tun kisah?

Lupakah Tun...siapakah yang berkuasa ketika Peristiwa Memali. Siapa yang terkorban? Lupakah Tun?. Tiba-tiba Tun kata mereka itu mati katak.

Adakah kami pasukan keselamatan ini pun mati katak? Kami tidak sehina itu wahai Tun pujaan ramai. Terima kasihlah Tun kata kami mati katak. Terima kasih sekali lagi. Terima kasih sekali lagi. Terima kasih sekali lagi...

Lupakah Tun...siapa yang mencipta gangguan politik (political disorder) ketika Tun memerintah sehingga berlaku permusuhan dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang berlainan ideologi politik? Siapakah yang mempertahankan Tun? Ada Tun kisah? Banyak lagi yang kami pendam hingga tak tertulis rasanya.

Biarlah kami simpan dendam itu semoga Allah membuka hati kami untuk memaafkan Tun. Entah bila kami tak tahu. Kami rasa tertipu dan ditipu oleh Tun selama ini. Terasa hinanya kami ini. Sia-sia saja pengorbanan kami selama ini apabila Tun buat pusingan U berbaik, berpeluk, menangis dan menyembah musuh yang Tun cipta semasa berkuasa dulu. Rupa-rupanya ia palsu semata mata.

Sekarang Tun nak pula mencipta kepalsuan baharu konon kerajaan sekarang zalim dan jahat serta menindas rakyat. Mereka dipilih oleh rakyat dan kami yang mempertahankan mereka. Apa dosa rakyat yang mengangkat kerajaan sekarang melalui pilihan raya. Apa dosa kami mempertahankan kerajaan sekarang.

Terlalu banyak kebaikan yang kami dapat daripada kerajaan sekarang yang ambil kisah kebajikan kami pasukan keselamatan. Serendah-rendah pangkat kami dapat juga membeli kenderaan dan kediaman untuk keselesaan keluarga. Jika belum beli rumah, dapatlah kami rumah kerajaan yang selesa.

Sangat jauh bezanya antara zaman Tun dengan zaman kerajaan sekarang walaupun Tun hina dan aibkan mereka seantero dunia dengan skrip palsu yang belum dibuktikan. Cukuplah kami ditipu dengan skrip palsu Tun berabad lamanya. Cukup-cukuplah Tun...jangan mengajar apa yang patut kami buat.

Kami tahu bagaimana mahu jaga keselamatan negara ini. Jangan ganggu kami. Jangan cipta lagi gangguan politik (political disorder) dan social disorder (gangguan ketenteraman awam) palsu dalam negara tercinta ini.

Kami dan anak cucu kami lama lagi mahu hidup menghirup betapa nyamannya keamanan dan kedamaian Malaysia Bumi Bertuah. Biarkan kami dengan cara kami. Jangan ajar kami. Hari ini kami menunaikan kewajipan sebagai warga negara membuat pilihan yang betul mengundi awal, bukan memilih kepalsuan yang dicipta. Kami tidak akan tertipu lagi dengan skrip palsu Tun.

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah.

Pasukan Keselamatan Yang Tidak Tertipu Lagi.

Berkibar megah Panji-Panji Diraja PDRM/ATM

11403 dibaca
Berita Harian X