Selasa, 24 April 2018 | 6:51am

Pengundi bijak pilih pemimpin utama negara, rakyat

PADA 9 Mei ini, rakyat Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kali ini debarannya cukup terasa. Apa tidaknya, PRU-14 menyaksikan perpecahan orang Melayu yang begitu ketara akibat pemikiran dan fahaman yang berbeza.

Di manakah maruah kita sebenarnya di mata masyarakat lain yang selama ini melihat Melayu sebagai bangsa seagama, tetapi perjuangan pula amat jauh berbeza? Sejarah apa yang ingin kita cipta selepas ini?

Satu ketika dulu kita diajak supaya menentang golongan rasis, kini mengapa pula pemimpin yang dulunya menanam doktrin berkenaan sanggup duduk semeja dan bersekongkol dengan puak rasis?

Adakah pemimpin sebegini akan kita pilih untuk menerajui negara bagi tempoh lima atau 20 tahun akan datang?

Sebagai rakyat yang bersikap rasional, pilih pemimpin yang berusaha mempertahankan maruah diri, bangsa dan agama serta kesejahteraan negara, bukan pemimpin yang hanya inginkan kuasa dan memenuhi cita rasanya sehingga pemimpin lain semua dianggap serba tidak kena dan tidak bijaksana.

Guna kebijaksanaan

Gunakanlah kebijaksanaan yang dikurniakan Allah SWT untuk memilih kepemimpinan masa depan yang benar-benar bertanggungjawab.

Kesilapan memilih pemimpin hanya berdasarkan cerita dan berita auta akan menyebabkan kita dikutuk oleh anak dan cucu, sekiranya kehidupan mereka nanti terseksa dan sengsara.

Usah memilih berdasarkan emosi kelak kita juga yang rugi. Usah memilih mengikut rasa kelak kita binasa dan usah memilih mengikut hati, nanti kedaulatan agama serta bangsa terkubur mati.

Pilihlah pemimpin yang beragama, ikhlas, bertanggungjawab, berwawasan dan berpandangan jauh, serta memastikan semua rakyat Malaysia selesa dan bahagia di bawah kepemimpinannya.

Berita fitnah dan putar belit yang melanda negara perlu kita jauhi. Usah memperjudikan nasib anak dan cucu kita kerana termakan hasutan manusia yang jiwanya penuh kecelaruan dan kekecewaan.

Pilih pemimpin yang berwibawa, bermaruah, berpendirian tetap dan bukan lalang serta boleh memperjuang dan menegakkan kedaulatan agama, negara serta survival bangsa.

Pemimpin akan datang dan pergi tetapi jika kedaulatan bangsa runtuh, di mana hak dan kuasa kita untuk bersuara dan menegakkan agama tercinta?

Jadilah seperti aur dengan tebing dalam perjuangan mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara.

Kesatuan memberi kekuatan, kejayaan dan kebahagiaan, manakala perpecahan membawa kelemahan, kerugian seterusnya kehancuran dan kesengsaraan.

Khairiyah Md Taib, Kuala Lumpur

206 dibaca
Berita Harian X