Sabtu, 21 April 2018 | 9:05am
Foto hiasan

Anak muda kurang kesedaran tanggungjawab mengundi

TARIKH bagi hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sewajarnya tidak perlu dijadikan isu yang besar.

Mengikut Subseksyen 25(1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan perlu membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi setiap pemilih yang bekerja pergi mengundi.

Ia juga memperuntukkan ketetapan bahawa majikan tidak boleh membuat apa-apa potongan gaji atau saraan pekerja mereka atau mengena dan menuntut apa-apa penalti jika pekerja tidak bekerja dalam tempoh mengundi itu.

Isu yang perlu difikirkan bersama ialah ke mana generasi muda yang layak mengundi, tetapi tidak mendaftar.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, seramai 3.6 juta anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi terdiri daripada golongan mahasiswa. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana generasi muda yang akan mencorakkan hala tuju negara.

Apakah alasan munasabah yang boleh diterima. Adakah salah generasi Y ini yang tidak cakna isu politik tanah air atau adakah salah negara yang tidak cakna mengenai bilangan yang sebesar ini?

Jangan ambil mudah

Memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi catatan di laman blog beliau: "Ingatlah bahawa suara anda penting dalam menentukan masa depan anda, anak cucu dan negara. Mengundi adalah satu tanggungjawab setiap daripada kita yang layak bagi menentukan masa depan mereka, keluarga dan masyarakat.

Janganlah bersikap ambil mudah dengan membiarkan orang lain membuat keputusan untuk anda, kerana keputusan itu sudah tentu akan memberi impak besar kepada hidup anda dan keluarga".

Antara faktor yang menyebabkan generasi muda kurang cakna tanggungjawab sebagai pengundi adalah tidak mahu terbabit dengan dunia politik dan merasakan satu undi tidak mampu membawa apa-apa makna.

Seperti kita sedia maklum dengan kecanggihan teknologi yang wujud pada hari ini, golongan muda lebih gemar menjadi keyboard warrior, berbanding bersama turun padang menyuarakan pendapat dan hak masing-masing.

Sikap ini amatlah tidak wajar bagi seseorang individu yang ingin menegakkan hak dan keadilan.

Hal ini tidak akan mampu untuk membawa negara ke mana-mana jika tanggungjawab sebagai pengundi tidak mampu ditunaikan dengan bijak.

Generasi Y penentu masa depan kerajaan

Generasi Y sepatutnya mempunyai idealisme tinggi untuk menentukan kerajaan masa hadapan.

Mereka disaran menelusuri Sejarah Islam Sultan Muhammad Al-Fateh, yang berjaya menakluki Kota Constantinople atau Byzantium (hari ini Istanbul) seawal usianya 19 tahun.

Sejarah yang telah berlalu seharusnya dijadikan pedoman sebagai sumber inspirasi kepada anak muda supaya bangkit dengan semangat untuk memperjuangkan hak dan tanggungjawab kepada negara.

Untuk melihat rakyat tidak terbelenggu dengan masalah generasi muda kurang cakna politik, kita perlu mencontohi negara maju seperti Jerman dan Amerika Syarikat yang mengguna pakai pendaftaran pengundi secara automatik pada umur 18 tahun.

Di Eropah pula had umur yang ditetapkan untuk mengundi adalah seawal usia 16 tahun.

Hal ini boleh dipertimbangkan untuk meletakkan Malaysia seiring dengan negara maju.

Daripada perspektif Islam pula, pemilihan pemimpin telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Pemilihan ketua dalam satu-satu kumpulan juga disarankan seperti hadis riwayat Abu Daud: "Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka lantiklah ke atas mereka seorang untuk menjadi ketua".

Bagaimanapun, cara pemilihan pemimpin pada zaman berkenaan berbeza dengan pilihan raya pada masa kini.

Islam masih mengiktiraf pilihan raya sebagai satu kaedah memilih pemimpin bersesuaian dengan tuntutan dan keadaan semasa selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Nur Izaaz Ibrahim

Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, USIM

593 dibaca
Berita Harian X