Jumaat, 23 March 2018 | 7:55am
PROJEK Denai Nusantara di bawah program Rumah Mampu Milik Johor antara inisiatif Johor untuk meringankan beban rakyat. - Foto hiasan

Rakyat Johor kena pertahan kerajaan prihatin sedia ada

SEJAK dahulu lagi, soal kos sara hidup tidak pernah sepi diperkatakan ramai pihak. Ia sering kali diperdebatkan oleh tokoh ekonomi, akademik dan pemimpin politik, namun harga barangan semakin meningkat mengikut peredaran masa.

Keadaan ini memungkinkan pihak yang mempunyai kepentingan politik mengambil kesempatan, dengan mendakwa kerajaan yang ada tidak pandai mengawal kenaikan harga barangan.

Fokus mereka hanya mahu menghasut rakyat supaya membenci kerajaan, sedangkan mereka sedar soal kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan, terutama di negara sedang membangun.

Persoalannya, apa yang Pakatan Harapan buat untuk membantu mengatasi kos sara hidup masyarakat, khususnya yang tinggal di Selangor dan Pulau Pinang yang juga antara negeri termaju.

Dari segi kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang, bangsa berkenaan sememangnya semakin terpinggir. Melayu di Selangor pula lebih bernasib baik kerana dapat menumpang segala perancangan Kerajaan Persekutuan.

Melayu di Johor sentiasa mendapat pembelaan kerana kesungguhan kerajaan negeri menangani kos sara hidup di sana.

Usaha itu antara agenda utama menjamin kelangsungan kehidupan, khususnya orang Melayu untuk terus tinggal di bandar.

Sebahagian daripada Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang disasarkan siap 100,000 unit pada 2023, sudah mula diduduki.

Menyedari sukar mendapatkan pinjaman perumahan, kerajaan Johor menyediakan dana RM300 juta untuk membantu pembeli rumah pertama memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

Perluas Skim Sewa Beli

Kerajaan Johor memperuntukkan antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah, dalam usaha memperluaskan Skim Sewa Beli dengan menyasarkan sebanyak 5,000 rumah skim berkenaan menjelang akhir 2018.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencabar kerajaan DAP Pulau Pinang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor, untuk melakukan perkara sama dari aspek pembinaan dan harga rumah mampu milik seperti Johor.

Persoalannya, hendak buat atau tidak? Mungkin kerajaan DAP Pulau Pinang dan pimpinan PKR di Selangor tidak mahu menggunakan kewangan negeri untuk kepentingan rakyat.

Malah, Selangor dilapor membatalkan beberapa projek rumah kos rendah tanpa memikirkan kekecewaan pembeli. Keadaan di Pulau Pinang juga menyedihkan apabila tanah rizab Melayu semakin menghampiri angka sifar.

Selain rumah, isu lain yang membebankan masyarakat bandar ialah kos pengangkutan awam. Dalam soal ini, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah.

Seramai 800 pelajar dari 500 keluarga miskin dibiayai oleh YPG dan UMNO Pasir Gudang, dengan kos RM180,000 bermula Februari 2016 sehingga akhir penggal persekolahan setiap tahun.

Khidmat bas percuma

Kerajaan Johor juga memperluaskan khidmat bas percuma ini kepada orang awam yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama.

Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) diperkenalkan bagi menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam.

Perkhidmatan BMJ diberikan secara percuma kepada seluruh warga Malaysia dengan peruntukan RM11 juta disediakan untuk tujuan berkenaan.

Kepada Bangsa Johor, usahlah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sentiasa menghasut rakyat agar membenci kerajaan.

Bangsa Johor seharusnya berjiwa besar dalam menghadapi segala hasutan dan fitnah yang sengaja dimainkan pembangkang untuk memancing undi.

Mohd Khatim Othman,
Setiausaha Persatuan Penulis Johor

1813 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »