Selasa, 6 March 2018 | 8:26am
MPPD disaran mengeluarkan larangan merokok di kawasan pantai tumpuan pelancong di Port Dickson dan Teluk Kemang demi kepentingan pengunjung.

MPPD digesa keluar larangan merokok di pantai tumpuan pelancong

PORT Dickson tidak perlu diperkenalkan kerana ramai tahu keindahan pantainya yang menarik kunjungan ribuan pelancong pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

Selain pilihan bersantai bersama keluarga, ia juga dijadikan tempat mengadakan program hari keluarga kementerian, jabatan dan agensi kerajaan; syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Di sebalik keindahan, ada yang mendukacitakan iaitu sikap segelintir pengunjung merokok di tepian pantai, malah merokok ketika mandi dan di atas pelampung.

Baru-baru ini, kami sekeluarga mengambil kesempatan bercuti ke Teluk Kemang, Port Dickson bersempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

Awal pagi kami sudah berada di tepian pantai untuk bersantai, malangnya beberapa pengunjung merokok sehingga pantai yang indah hilang keceriaan dan keseronokan, malah bertukar kepada kemarahan.

Terhidu asap rokok

Kami mengambil keputusan balik ke hotel dan isteri saya diserang asma dengan doktor mengesahkan ia berpunca daripada terhidu asap rokok.

Niat di hati mahu bergembira, namun lain pula yang berlaku apabila 'bencana' menimpa.

Saya mencadangkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) supaya mengeluarkan larangan merokok di seluruh kawasan pantai tumpuan pelancong itu.

Jika pengendali Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menguatkuasakan larangan merokok di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya itu, kenapa pula MPPD tidak boleh berbuat demikian.

Jangan lupa tragedi kebakaran 10 kayak di tepi pantai di Batu 10, Teluk Kemang pada 19 Februari 2017 yang dikesan berpunca tindakan individu membuang puntung rokok ke dalam permainan sukan air itu.

Jangan biarkan kejadian sebegini berulang dan hormati pelancong.

Using Boong
Subang Jaya, Selangor

310 dibaca
Berita Harian X