Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:23pm
ANTARAH ialah komik pertama yang akan diterbitkan oleh Kalimat.

Watak penyair jahiliyah tampil pahlawan adiwira

SHARJAH: Di atas karpet merah, rambut gelap yang ditiup angin, dia merentasi padang pasir di bawah terik sinar matahari: Antarah, penyair Arab yang masyhur abad ke-6 yang dilahirkan sebagai hamba abdi, kini menjadi adiwira.

Penyair zaman jahiliyah, Antarah bukan saja diraikan dalam ingatan kolektif Arab, bahkan turut mendapat tempat dalam budaya pop - anak pemimpin kabilah dan hamba abdi Abisinia yang bangkit sebagai penyair-wira untuk membebaskan diri dan menuntut ayahnya supaya mengiktirafnya sebagai anak dan manusia merdeka.

Kini, watak itu membintangi komiknya sendiri, ditampilkan sebagai adiwara yang mengenakan perisai dan selendang oleh penulis Mesir, Mumen Hilmi dan pelukis ilustrasi terkenal India, Ashraf Ghuri.

Mumen berkata, kisah Antarah menghapuskan garis kelas dan bangsa yang sering kali menguasai masyarakat, iaitu contoh terbaik menjadi adiwira.

“Masyarakat Arab gemar memperbesar-besarkan sifat keperibadian adiwira dan kami terfikir mengapa tidak mengubah Antarah kepada adiwira yang sering kita lihat di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun,” katanya.

Antarah ialah komik pertama yang akan diterbitkan oleh Kalimat, iaitu penerbit yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berkepakaran dalam penerbitan manga dari Jepun ke bahasa Arab, selain kartun bersiri Nick Seluk dari AS, The Awkward Yeti dan Heart and Brain.

Kisahnya diadun dengan elemen keberanian, perhambaan, kemerdekaan, kesetiaan dan cinta, manakala watak heroinnya, Abla ialah puteri pemimpin kabilah serta menjadi fokus perasaan Antarah.

Antarah mengetepikan belenggu kehidupan awalnya untuk bangkit sebagai pahlawan dan menuntut haknya sebagai putera Shaddad, iaitu pemimpin kabilah Bani Abs.

Namun fakta kehidupan Antarah masih kabur: satu kisah mendakwa Antarah ibnu Shaddad al-Absi dilahirkan sebagai putera Ethiopia, manakala kisah yang lebih popular menganggapnya dilahirkan sebagai hamba Abisinia yang berkulit gelap.

Bapa Antarah, ketua kabilah di wilayah yang kini terletak di barat Arab Saudi, enggan mengiktirafnya sebagai anak yang dilahirkan sebagai hamba abdi.

Antarah memberontak terhadap statusnya sebagai hamba abdi, iaitu apabila mempertahankan kabilahnya dengan gagah berani, hanya diberikan separuh daripada pampasan yang dianugerahkan kepada pahlawan.

Dia mengungsi ke tempat lain di padang pasir dan enggan ikut serta untuk mempertahankan kabilahnya hinggalah pada suatu hari, dia diseru supaya membantu kaumnya.

Legenda menyebut peristiwa itu menjadi wasilah bagaimana Antarah memperoleh kemerdekaannya.

Mumen berkata, komik itu mengisahkan kehidupannya yang bermula sebagai hamba abdi, diperlaku dengan tidak adil oleh kabilahnya kerana warna kulitnya dan status ibunya hingga menjadi watak hero pada garis hadapan peperangan.

Kekuatan Antarah turut seimbang dengan kemahiran puisinya yang mempunyai dua tema besar, iaitu eksploitasi perang dan cintanya terhadap sepupunya, Abla, iaitu puteri kepada sheikh kabilah.

Sama ada kisah cinta Antarah dan Abla berakhir dengan gembira atau ditamatkan secara tragedi, tidak ada sesiapa yang tahu.

Bagaimanapun kemasyhuran Antarah dalam puisi masih diajar dalam kurikulum merentasi negara Arab dengan puisi ‘Muallaqa’, iaitu sebahagian adikarya puisi Arab sebelum Islam - digantung di kota suci Makkah dan masih menjadi kata kunci dalam budaya pop.

Antarah turut menjadi sumber inspirasi kepada seniman dan ahli muzik di seluruh dunia dengan komposer Russia abad ke-19, Nikolai Rimsky-Korsakov yang mendedikasi simfoni dalam empat gerakan kisahnya.

Pencipta komik Antarah percaya legenda itu akan bergema dalam kalangan penonton moden sama ada dunia Arab atau seluruh dunia.

Mumen berkata, kisah ini mempunyai tarikat sejagat terutama ia berkaitan dengan rasisme.

Kami menggabungkan ilustrasi apa yang kami bayangkan sebagai kisah kanak-kanak Antarah apabila pertama kali berdepan dengan diskriminasi dan penganiayaan bapa dan rakan-rakannya.

Punca kematian Antarah masih menjadi isu yang diperdebatkan dengan ada yang mengatakan dia meninggal dunia atas sebab alamiah, manakala pihak lain menunjukkan bukti bahawa dia dibunuh dengan panah beracun.

Bagaimanapun komik itu tidak menyediakan jawapan.

Walaupun ia meninggalkan persoalan itu tergantung, fokus penciptanya jelas.

“Beritahu saya, sama ada saya hamba abdi atau anak?” - AFP

279 dibaca
Berita Harian X