Isnin, 8 Oktober 2018 | 4:42pm
ANTARA lukisan Tun Dr Mahathir yang dipamerkan melalui pameran ‘Tun M - A Forever Legacy’ di Westminster International College. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Karya 68 seniman dunia kagumi legasi ketokohan Tun M

SUBANG JAYA: Kekaguman terhadap ketokohan Tun Dr Mahathir Mohamad, menghimpunkan seniman daripada 37 negara melalui pameran ‘Tun M - A Forever Legacy’ di Westminster International College, di sini.

Bermula Sabtu lalu hingga 22 Oktober ini, lebih 100 lukisan daripada 68 seniman dipamerkan melalui siri kedua pameran itu, susulan kepada penganjuran awal di Universiti Perdana di Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu.

Selain seniman tanah air, karya turut dibawa khusus seniman luar termasuk dari Algeria, Bangladesh, Egypt, Perancis, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Jepun Afrika Selatan, Turki, Amerika Syarikat dan Mexico.

Kurator, Norpisah Mat Isa, berkata ilham menggabungkan seniman pelbagai negara itu terlahir apabila melihat bagaimana tokoh besar itu dikagumi bukan hanya masyarakat di negara ini, malah melangkaui negara luar.

“Nama Tun Mahathir bukan hanya dihormati di Malaysia, malah masyarakat antarabangsa juga menunjukkan penghormatan sama banyak di atas kebijaksanaan dan ketokohannya dalam memimpin negara.

“Kelantangannya dalam menyampaikan buah fikiran menyebabkan beliau menjadi pemimpin tanah air yang sangat dikenali, apatah lagi apabila kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua.

“Kejayaan merealisasikan pameran ini tidak hanya menggembirakan seniman tanah air, malah dari luar negara yang memandang tinggi kepada tokoh besar negara itu," katanya.


DR Mohamed Najib (dua dari kiri) melihat lukisan Tun Dr Mahathir pada majlis perasmian pameran ‘Tun M - A Forever Legacy’. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

ANTARA lukisan Tun Dr Mahathir yang dipamerkan melalui pameran ‘Tun M - A Forever Legacy’ di Westminster International College. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian pameran ‘Tun M - A Forever Legacy’ disempurnakan Ketua Pengarah Balai Seni Negara (BSN), Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua Westminster International College, Baldev Singh dan kurator bersama Tun M - A Forever Legacy, James Yip.

Norpisah berkata, pihaknya merancang membawa pameran sama ke Alor Setar, iaitu tempat lahirnya tokoh politik negara berusia 93 tahun itu.

“Besar harapan kami melihat pameran ini dapat ke luar negara dan setakat ini, kedutaan Perancis sudah menunjukkan minat untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Najib mengucapkan tahniah kepada Westminster International College atas usaha membawa pameran tokoh unggul negara itu untuk dinikmati lebih ramai peminat seni tanah air.

Katanya, sebagai sebuah agensi berkaitan seni, BSN sentiasa menyokong usaha dilakukan pelbagai pihak dalam menyebar luas minat masyarakat terhadap seni.

Ends

503 dibaca
Berita Harian X