Sabtu, 6 Oktober 2018 | 4:44pm
TAN Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz melancarkan buku yang mengandungi kesemua 45 kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Sejarah dan Budaya Kelantan-Pattani (SEKATA) 2018, sambil disaksi Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman (bersongkok) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji. - Foto Zulkifli Zainuddin

Kajian sejarah Kelantan-Pattani akan dibukukan

KOTA BHARU: Kesemua 45 kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Sejarah dan Budaya Kelantan-Pattani (SEKATA) 2018 di sini, bakal diterbitkan dalam bentuk buku dalam masa terdekat.

Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman, berkata buku yang akan dijual di pasaran tempatan dan luar negara itu akan menjadi bahan penelitian sarjana terutama dalam hubungan antarabangsa sebagai sebuah tamadun awal di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kehidupan sosiobudaya Kelantan-Pattani memiliki banyak persamaan kerana berada di satu wilayah geografi dan geobudaya sama.

“Kedua-duanya mempunyai pertalian sejarah dan budaya yang sangat akrab selain pancaran lambang kegemilangan peradaban Melayu-Islam Timur Laut zaman berzaman lamanya.

“Sebanyak 45 kertas kerja dihasilkan oleh cendekiawan dan golongan profesional dalam bidang agama, pondok, ilmu, sosiologi, ekonomi, pendidikan, serta perjanjian Bangkok akan menjadi bacaan umum supaya tatapan dan rujukan generasi masa kini dan masa depan.

“Buku yang dihasilkan lebih 500 muka surat itu diharap mampu menjadi jambatan ilmu selain dapat memahami perkembangan hubungan dan sejarah Kelantan-Pattani yang mungkin sebahagian dari kita belum mengetahuinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas SEKATA yang dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

A Aziz berkata, seminar yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dihadiri 250 peserta dan dianjurkan kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Dakwah Negara (MDN) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Seminar ini sangat penting ke arah merapatkan tali silaturahim antara Kelantan dengan Pattani.

“Ia dilihat sebagai penghubung ke arah pembangunan intelektual dan peradaban ummah menerusi pedoman dari sejarah silam, pengalaman nilai murni sejagat yang diungkapkan menerusi pembentangan kertas kerja,” katanya.

236 dibaca
Berita Harian X