Sabtu, 6 Oktober 2018 | 1:38pm
JILA Mossaed. - Foto EPA

Penyair Iran, hakim dilantik juri Hadiah Nobel Sastera

STOCKHOLM: Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan mengumumkan penyair kelahiran Iran dan hakim sebagai anggota baharunya dalam usaha pemulihan ekoran skandal #MeToo yang memaksa badan itu menangguhkan pengumuman pemenang tahun ini.

Seramai lapan daripada 18 anggota meletak jawatan dan memutuskan hubungan ekoran perbezaan pendapat dalam Akademi mengenai kaedah menangani hubungan lama dengan warga Perancis yang baru-baru ini dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan merogol.

Buat pertama kali dalam tempoh 70 tahun, ia menangguhkan hadiah sastera pada tahun ini kepada tahun depan dalam usaha menyelesaikan masalahnya.

Pemilihan Jila Mossaed, iaitu penyair kelahiran Tehran berusia 70 yang menulis dalam bahasa Sweden dan Parsi serta Hakim Mahkamah Agung, Eric Runesson, menjadikan anggota Akademi yang masih aktif kepada korum 12 ahli.

Secara tradisinya, anggota dipilih untuk tempoh sepanjang hayat tetapi beberapa ahli tidak lagi bergiat aktif dan dalam usaha memastikan kelangsungan daya hidup organisasi itu, penaungnya, Raja Sweden, King Carl XVI Gustaf mengubah peraturan untuk membolehkan mereka meletak jawatan dan digantikan.

“Pemilihan dua anggota baru ialah tindakan positif. Saya berharap Akademi Sweden akan diberikan peluang untuk meneruskan pembinaan semula keyakinan awam terhadap institusi itu, sekali gus ia dapat menyambung tugas penting,” katanya dalam kenyataan di sini.

“Pandangan saya tidak dihargai di negara asal saya tetapi negara baharu saya menawarkan antara kedudukan sastera yang terbaik kerana apa yang saya tuliskan,” kata Mossaed yang hidup dalam buangan di Sweden sejak 1986 kepada agensi berita TT.

Beliau mengambil alih kedudukan pengarang Sweden, Kerstin Ekman yang menamatkan pembabitannya dengan Akademi pada 1989 ekoran keengganan badan itu untuk mengutuk fatwa yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Khomeini terhadap pengarang Salman Rushdie ekoran novelnya, The Satanic Verses.

Sementara itu, Runesson yang dilahirkan pada 1960 dan bertugas sebagai profesor di Universiti Lund, secara berseloroh menganggap diri sendiri sebagai ‘budak nakal yang kurang dikenali’ berbanding rakan sejawatannya.

“Ini mengenai dua tokoh yang memiliki integriti tinggi yang berlatar belakang dan pendidikan berbeza serta cekap, sekali gus menyempurnakan Akademi dengan cara yang menarik,” kata pengarang dan anggota Akademi Sweden, Peter Englund. - AFP

60 dibaca
Berita Harian X