Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:58am
PEGAWAI perpustakaan menunjukkan pingat emas Hadiah Nobel yang dianugerahkan kepada novelis, Gabriel Garcia Marquez, di Bogota, Colombia, pada 17 April 2015. - Foto fail AP

Hadiah Nobel tempang tanpa sastera

HARI ini Hadiah Nobel Kesusasteraan sepatutnya diumumkan berdasarkan tradisi pengumuman anugerah berprestij antarabangsa itu saban tahun.

Bagaimanapun seperti yang diketahui umum skandal yang menggegarkan Akademi Sweden, iaitu penyelenggara hadiah sastera itu menyebabkan penganugerahannya ditangguh hingga tahun depan.

Tanpa pengumuman hadiah yang menawarkan wang bernilai 9 juta kronor (RM4.2 juta)vc itu, Hadiah Nobel dianggap tempang.

Pendedahan skandal ekoran gelombang #MeToo yang turut merempuh dunia sastera di seluruh dunia itu, menjerumuskan Akademi Sweden ke dalam kemelut yang menjejaskan kredibiliti dan mendorong rombakan drastik dalam organisasi terbabit.

Malah, Hadiah Nobel Perubatan yang membuka tirai pengumuman sepanjang minggu ini turut dibayangi dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap suami anggota Akademi Sweden, Jean-Claude Arnault.

Arnault didapati bersalah atas tuduhan merogol dan dijatuhkan hukuman dua tahun penjara tetapi peguam belanya, Bjorn Hurti, memberitahu agensi berita tempatan, TT bahawa anak guamnya akan membuat rayuan.

Hubungan Arnault dengan Akademi Sweden bukan setakat perkahwinan, malah pusat kebudayaan yang dikendalikannya menerima dana daripada institusi terbabit beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Akademi Sweden memutuskan semua hubungan dengan pusat kebudayaan itu selepas skandal itu meletus.

Dengan hilangnya ‘daya penarik’ Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini, kategori yang dijangka menjadi tumpuan masyarakat umum ialah Hadiah Nobel Keamanan.

Bidang lain yang diberikan hadiah ialah perubatan, fizik, kimia dan sains ekonomi.

Kontroversi Hadiah Nobel Kesusasteraan sebenarnya menjadi isyarat kepada khalayak sastera termasuk di negara ini terhadap realiti sebenar anugerah yang boleh dikatakan biasanya menjadi mimpi dan impian sasterawan.

Malah euforia dalam menjadikan Hadiah Nobel Kesusasteraan sebagai matlamat sering muncul dalam kenyataan pemimpin, birokrat dan pengarang sastera seolah-olah ia juga penanda aras kemajuan sastera Malaysia.

Bagaimanapun ia tidak terlepas daripada ‘penyakit’ yang sering hinggap pada organisasi terutama yang sudah lama, iaitu manusia terperangkap dalam masa lalu dan hilang deria dalam menanggapi masa kini serta masalah integriti dan kredibiliti.

Atau dalam kes tertentu, terkait dengan kegagalan mengawal naluri seksual hingga menjadi ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

Cuma dalam kes Hadiah Nobel Kesusasteraan, lumpurnya sehingga hampir-hampir menenggelamkan sebuah institusi sebesar Akademi Sweden dan ‘menanduk’ penganugerahannya hingga tahun depan.

182 dibaca
Berita Harian X