Khamis, 4 Oktober 2018 | 12:45pm
NOVEL Juara karya Sasterawan Negara, Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan).

Novel laga lembu, politik sembunyi kecewa Sasterawan Negara

SHAH ALAM: Novel Juara karya Sasterawan Negara (SN), Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan) bukan hanya berkisar laga lembu yang menjadi simbol politik Melayu, bahkan ia turut mengandungi testimoni kekecewaan peribadinya.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara yang juga anaknya, Syed Mohd Zakir, berkata bapanya mengalami beberapa kekecewaan dalam hidup yang akhirnya diluahkan di dalam novel.

“Kekecewaan pertama apabila dihalang untuk bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) oleh keluarganya.

“Sebagai anak yang lahir dalam persekitaran agama yang datuknya ialah Kadi Kelantan ketika itu, MCKK dilihat seumpama sekolah mubaligh hingga dibimbangi akan menggugat akidahnya,” katanya pada Wacana Pemikiran Sasterawan Negara di Institut Darul Ehsan di sini.

Syed Mohd Zakir berkata, kekecewaan itu meskipun terpadam, lukanya tetap terasa apabila beliau sekali lagi dikecewakan apabila pencalonannya sebagai calon sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Umum sekitar 1950-an ditolak atas faktor usia yang muda.

“Dua kegagalan itu ditumpahkan dalam Juara, iaitu novel keduanya selepas Angin Timur Laut yang terbit tujuh tahun sebelumnya,” katanya pada acara yang dipengerusikan Mohamed Nasser Mohamed.

SM Zakir turut berkongsi pengalaman apabila mengakui S Othman Kelantan tidak pernah memberi bimbingan kepadanya dalam bidang penulisan.

“Sebagai anak, saya tidak rapat dengan beliau tetapi diharap menjadi ustaz, sekali gus menyambung legasi keluarga yang malangnya saya tidak dapat memenuhi hajat itu.

“Latar kami berbeza kerana saya membesar di bandar besar dan persekitaran sama sekali berlainan dengan kehidupannya. Kami menjadi pengarang tetapi dengan cara berbeza,” katanya yang juga anak keempat daripada enam beradik.

Bagaimanapun SM Zakir mengakui, bapanya membina persekitaran yang mendorong beliau untuk turut sama menjadi penulis.

“Sebagai bapa, beliau menyediakan saya dengan persekitaran yang dipenuhi dengan buku dan bahan akademik. Saya membesar dengan mengisi sebahagian masa saya membaca,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Bahasa Melayu, Sastera dan Pengajian Budaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Che Abdullah Che Ya, berkata sebagai pengarang SM Zakir dan S Othman Kelantan mempunyai kaedah yang berlainan.

“S Othman Kelantan ialah pengarang yang tidak percaya pada plot. Bagi beliau, asal ada watak adalah cerita. Bahasa beliau juga lebih lembut berbanding SM Zakir yang sedikit kasar.

“Namun, satu persamaan antara kedua-duanya adalah mereka menulis karya protes sosial,” katanya.

Sebagai individu yang rapat dengan S Othman Kelantan, Che Abdullah mengakui beliau adalah lelaki Melayu tipikal yang tidak pandai menunjukkan perasaannya.

“Mungkin beliau jarang bercakap dengan SM Zakir mengenai dunia kepengarangan tetapi sebenarnya beliau sangat berbangga dengan pencapaian anaknya itu dalam dunia sastera.

“Beliau mungkin tidak pernah melafazkannya tetapi beliau selalu memuji karya SM Zakir,” katanya.

Tegas Che Abdullah, sebagai sarjana, S Othman Kelantan turut memberi sumbangan dalam dunia akademik tetapi jarang diperkatakan kerana dibayangi karya kesusasteraannya.

“Sehingga akhir hayatnya, beliau sudah menulis lima buku bukan fiksyen dengan satu daripadanya masih menjadi rujukan hingga ke hari ini, iaitu Pemikiran Satira Dalam Novel Melayu yang diterbitkan pada 1977,” katanya.

Malah S Othman Kelantan pernah memperkenalkan Teori Kritikan Melayu tetapi tidak dimantapkan kerana penyertaan beliau dalam dunia akademik agak lewat sekitar usia 40-an dan meninggal dunia pada usia 69 tahun.

128 dibaca
Berita Harian X