Rabu, 3 Oktober 2018 | 1:43pm
Seorang pekerja berjalan di hadapan lukisan pelukis Amerika Syarikat, Jean-Michel Basquiat semasa pembukaan pameran double 'Basquiat - Schiele' di Fondation Louis Vuitton di Paris, Perancis. - Foto EPA

Dua pemberontak seni 'bersemuka' di Paris

PARIS: Dua pameran utama baharu dibuka di Paris, hari ini, menampilkan persaingan antara dua seni pemberontakan, Jean-Michel Basquiat dan Egon Schiele.

Meskipun pelukis kelahiran New York yang bermula sebagai artis grafiti dan seniman Vienna awal abad ke-20 daripada dunia serta era berbeza, kedua-duanya melalui hidup yang susah, meninggal dunia pada usia muda dan memperjuangkan semangat mereka di atas kanvas.

“Renungan mereka tepat memandang kita,” kata Pengarah Yayasan Louis Vuitton, Suzanne Page, iaitu penganjur kedua-dua pameran itu.

Sementara Basquiat melambangkan pemberontakan artis jalanan generasi muda New York pada dekad 1980-an yang menyerbu galeri besar, kuasa erotik Schiele pula ‘meletus’ di kota raya yang turut menyaksikan Freud mencabar taboo mengenai seks dan membangunkan teori psikoanalisisnya.

Page berkata, kepala dan tubuh yang mereka lukiskan menunjukkan manusia daripada dalaman kepada luaran.

“Kedua-duanya prolifik dan memiliki bakat yang berubah-ubah, sekali gus sama-sama berada dalam misi yang jauh lebih besar daripada kedudukan mereka serta bekerja dalam permasalahan yang besar,” katanya kepada AFP.

Basquiat yang berasal daripada keluarga campuran Haiti and Puerto Rico, kini ialah pelukis Amerika yang termahal dengan lukisan tengkoraknya dijual dengan harga AS$110.5 juta (RM457 juta) di New York, tahun lalu.

Ia turut memegang harga rekod dunia untuk karya seni yang dihasilkan sejak 1980.

Kanvas itu, Untitled dibeli oleh bekas bintang pop Jepun dan jutawan internet, Yusaku Maezawa serta menjadi sebahagian koleksi yang dipamerkan bersama-sama 100 karya seninya.

Dataran di ibu kota Perancis turut diberikan nama Basquiat, minggu lalu.

Malah pada pameran peribadi malam tadi, bintang Hollywood Owen Wilson dan bintang bola sepak, David Beckham turut menghadirinya bersama-sama keluarga pelukis itu.

Tidak hairanlah permintaan terhadap karyanya itu menjadikan hasil seni Basquiats merangkumi satu perlima daripada 100 lukisan paling mahal yang dijual dalam lelongan tahun lepas mengikut indeks Artprice.

Basquiat meninggal dunia pada usia 27 kerana penyalahgunaan dadah dalam dos berlebihan selepas melalui tempoh lapan tahun yang gemilang selepas bintang terkenal, Andy Warhol mengesan bakat puitis, provokatif dan lucunya.

Beliau bermula dengan tin aerosol di tempat asalnya, Brooklyn dan Lower Manhattan yang dipanggil SAMO, iaitu istilah slanga yang bermakna ‘the same old shit.’

Seperti Schiele, beliau berhenti sekolah pada awal usia dan kurator pameran itu, Dieter Buchhart menyifatkan mereka berdua berkongsi aliran eksistensial yang tajam.

Meskipun Basquiat dilihat sebagai artis jalanan tidak berwang yang menentang rasisme, artis yang sering disebut nama oleh penyanyi rap seperti Jay-Z itu sebenarnya berasal daripada keluarga yang berada dan dihantar ke sekolah swasta yang mahal.

Beliau boleh berbahasa Sepanyol, Perancis dan Inggeris pada usia 4 tahun serta sering dibawa ke muzium di kota Big Apple itu oleh ibunya sejak kecil.

Ibunya juga yang menghadiahkan buku anatomi apabila beliau dilanggar kereta pada usia 8 tahun yang mencetuskan imaginasinya, kata Page.

“Beliau sangat berbudaya sama ada tinggi atau rendah, malah mengambil semua elemen budaya. Generasi muda daripada semua budaya memang memiliki kecenderungan itu.

“Basquiat tidak pernah terputus hubungan dengan jalanan dan sering menggabungkannya,” katanya.

Schiele – yang turut dikenali dengan potret sendiri yang luar biasa – hidup setahun lebih lama berbanding Basquiat apabila meninggal dunia pada usia 28 ketika pandemik selsema Sepanyol

during the influenza Sepanyol yang melanda Eropah yang sudah sedia dilemahkan oleh peperangan.

Unsur seksualiti dalam karyanya dan tumpuan kepada seks serta kematian, menjadikannya terkenal, malah menyebabkannya dipenjarakan atas kesalahan pornografi.

Isterinya, Edith, yang mengandung ketika itu, meninggal dunia tiga hari sebelum Schiele akibat penyakit yang sama, manakala karya terakhirnya ialah lakaran wanita terbabit.

Basquiat juga mengalami kehidupan yang sukar, kata pengkritik seni Perancis, Christian Noorbergen. “Bagaimanapun, beliau mencabar seni dengan setiap cara, menentang rasisme dan semua bentuk keakuran yang menghancurkan kehidupan sebenar.

“Serangannya terhadap halangan budaya sangat mengejutkan, menakutkan dan menakjubkan,” katanya.

Pameran itu yang diadakan secara berasingan di Yayasan Louis Vuitton, berlangsung sehingga 14 Januari ini.

134 dibaca
Berita Harian X