Selasa, 2 Oktober 2018 | 1:30pm
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib. - Foto Azhar Ramli

DBKL perlu kaji semula pengasas sebenar Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menjalankan kajian semula sejarah pembukaan ibu kota ini berikutan maklumat baharu yang ditemui.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib, berkata penilaian itu perlu berikutan lahirnya buku baharu berjudul Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur oleh Abdur Razzaq Lubis yang mengemukakan beberapa fakta kukuh bahawa Sutan Puasa adalah pengasas Kuala Lumpur.

Perkara itu penting untuk dikaji memandangkan Sutan Puasa, iaitu saudagar Mandailing, menjadi individu berpengaruh ketika itu, sekali gus bercanggah dengan sejarah Malaysia menyebut Kapitan Cina ketiga, Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur, katanya kepada BERNAMA selepas Sesi Bicara Ilmu bersama Abdur Razzaq di DBKL di sini.

Beliau berkata, DBKL sebelum ini tidak mempunyai maklumat yang kukuh untuk mengesahkan Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur tetapi dengan adanya buku ini, kini mempunyai lebih maklumat untuk membuat keputusan.

“Kajian yang lebih teliti itu (akan tentukan) sama ada apa yang kita (pernah) tegaskan dulu itu betul atau sebaliknya dan melalui fakta baharu yang ada, penelitian memang perlu dibuat,” katanya.

Buku setebal 615 muka surat itu mengemukakan maklumat baharu mengenai pembukaan Kuala Lumpur yang disertai dengan dokumen berserta peta dan gambar lama.

Abdur Razzaq dalam buku itu turut membincangkan beberapa nama yang disebut sebagai pengasas Kuala Lumpur oleh pelbagai tokoh sejarah dan penulis tempatan termasuk Yap Ah Loy; Kapitan Cina pertama, Hiu Siew dan Raja Abdullah, yang menjadi Orang Besar Jajahan Klang.

1105 dibaca
Berita Harian X