Isnin, 1 Oktober 2018 | 1:17pm
KERATAN akhbar bertajuk UNESCO nobat Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 dan Kursus bahasa Melayu untuk Ahli Parlimen. - Foto NSTP

KL Ibu Kota Buku Dunia - Mengapa Tidak?

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku

Sejumlah 20 bandar di 20 negara sudah diisytiharkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia (WBC) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), termasuk Bogota di Columbia; Antwerp (Belgium); Ljubljana (Slovenia); Yerevan (Armenia); Incheon (Korea Selatan) dan Conakry (Guinea).

Kuala Lumpur adalah bandar ke-20 dinobatkan, menjadikan Malaysia negara kedua di Asia Tenggara selepas Thailand yang menerima status berkenaan pada tahun 2013.

Sejurus Kuala Lumpur menerima pengesahan status WBC 2020, berita itu mula tular di media sosial sebelum disambut oleh media perdana dengan pelbagai skop dan polemiknya. Penganugerahan status itu disambut dengan penuh euforia oleh ‘hampir’ semua karyawan buku tanah air.

Saya sebut ‘hampir semua’, kerana timbul juga persoalan, tidak kurang yang meremehkan status Kuala Lumpur sebagai WCB 2020.

Kepada karyawan buku yang bertungkus-lumus dalam menyiapkan dokumen pembidaan, ia adalah sebuah kepuasan yang sangat besar atas dua sebab. Pertama, kita mengakui industri buku tanah air berhadapan dengan cabaran yang besar. Penganugerahan ini, membuka peluang untuk karyawan buku membuka lembaran baharu dengan memulakan perjuangan menempuh era getir ini bersandarkan kepada kuasa politik yang juga baharu.

Kedua, tahun 2020, bersinonim dengan hasrat untuk menyambut aspirasi besar wawasan yang digagaskan oleh Perdana Menteri keempat pada 1991, yang Malaysia kembali dipimpin oleh tokoh yang mencetuskan idea wawasan berkenaan. Justeru ia menjadikan tahun penganugerahan berkenaan, yakni 2020, membawa erti yang lebih manis lagi.

Sendat aktiviti buku

Dalam proses pembidaan, negara pembida perlu menyenaraikan segenap kekuatan sesebuah negara dalam aspek perbukuannya. Bagi memenuhi keperluan itu, sekretariat yang dipengerusikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut dianggotai agensi dan pemain industri mengumpulkan setiap butiran acara dan agenda perbukuan negara.

Kuala Lumpur sebenarnya sendat dengan acara perbukuan di sepanjang tahun. Berpuluh agensi yang menggubal program dan aktiviti hampir setiap minggu dan bulan dituruti pula dengan agenda perekonomian industri kandungan tanah air, malah tidak ketinggalan inisiatif oleh pejuang buku secara individu, memenuhi sebuah kolaj mujahadah perbukuan tanah air.

Setiap satu entiti yang mengisi dan menggerakkan ruang perbukuan tanah air ini bukan hanya memenuhi tanggungjawab dan mandat profesion semata-mata. Sebaliknya ia dinukilkan hasil daripada keyakinan bahawa usaha memandaikan bangsa melalui pembacaan sebagai mujahadah yang perlu digalas sebagai taklif rabbani, yakni sebagai sebuah pertanggungjawaban kudus dalam menyalurkan ilmu dan makna.

Sewaktu Conakry, dinobatkan oleh UNESCO sebagai WCB pada tahun 2017, ia mengubah landskap malap bandar itu kepada pesta sastera. Bandarnya dipenuhi acara pembacaan puisi dan pentomin, dinding bangunan dihiasi dengan nukilan puisi serta wajah penulis mereka sehinggakan Presiden Guniea menganggap penganugerahan itu sebagai sebuah Renaissance budaya mereka dan menjadi dorongan kepada usaha untuk mengelakkan budaya tradisi mereka daripada pupus.

Berbanding Conakry, Incheon yang mendahului dua tahun dinobatkan sebagai WBC menggunakan kesempatan status itu untuk memposisikan bandar mereka sebagai hab perdagangan kandungan serantau dan meletakkan simbol keramat Sungai Han sebagai dorongan kepada kejayaan kemajuan menerajui sektor industri teknologi dunia.

Baik Conakry mahupun Incheon, berlatarbelakangkan status ekonomi dan budaya yang sangat jauh berbeza, masing-masing mengambil kesempatan penganugerahan status ini sebagai proses meluruskan semula agenda mencerdaskan umat dengan memanfaatkan kuasa politik masing-masing.

Nyalakan obor cinta ilmu

Penganugerahan ini juga sebuah kecerdasan dalam kalangan pejuang buku untuk mendapatkan kuasa politik secara bulat dan pukal. Ia ternyata berjaya setakat ini untuk menarik perhatian umum dengan pelbagai polemik yang melatari sementara setiap agenda. Malah, kementerian yang terbabit kini sudah mula sibuk membincangkan agenda termasuk untuk mula menjadikan #KLbaca semakin zahir termasuk di Pesta Buku Frankfurt, yang dianggap sebagai kiblat kepada industri buku dunia.

Kepada pemain industri dan karyawan buku, anugerah ini sebuah laungan perjuangan untuk digegak-gempitakan.

Malaysia bercita-cita besar ingin menjadi pemain utama pembangunan dunia. Kita berada dalam kemelut persaingan yang getir. Malaysia juga kini dalam proses transisi perubahan struktur pentadbiran pasca pilihan raya lalu. Ia satu pertembungan kesempatan yang luar biasa yang tidak terfikirkan sewaktu dokumen pembidaan diisi dan diserahkan kepada UNESCO.

Tidak keterlaluan untuk kita anggap ia sebagai sebuah intervensi kudus (divine intervention) mungkin natijah keikhlasan setiap individu yang menyiapkan dokumen pembidaannya.

Kita perlu terus menyalakan obor kecintaan kepada ilmu melalui wahana pembacaan kerana itulah kritikan kita selama ini iaitu ingin kemajuan negara diisi dengan pembangunan yang benar-benar bermakna.

Penganugerahan KL sebagai WCB 2020 bukanlah suatu kesilapan. Ia adalah suatu kesempatan. Lalu, ketika mana ada pihak yang mempersoalkan, mengapa Kuala Lumpur terpilih sebagai WCB 2020 ? Jawapan kita mudah, mengapa tidak?

192 dibaca
Berita Harian X