Ahad, 30 September 2018 | 12:15pm
Jean-Claude Arnault. - Foto AFP

Tiada Hadiah Nobel Sastera, Akademi perlu reformasi

STOCKHOLM: Susulan skandal #MeToo, Akademi Sweden menunda Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini, sekali gus meninggalkan lompong pada penganugerahan 2018 dalam usaha membuat reformasi institusi yang dihormati itu.

Diasaskan oleh King Gustav III pada 1786 dan bermodelkan institusi di Perancis, Akademi Sweden memilih pemenang anugerah sastera yang berprestij sejak ia dianugerahkan pada 1901.

Penobatan tertinggi yang diimpikan oleh pengarang, penyair dan dramatis, Nobel dianugerahkan kepada sebahagian pengarang agung sepanjang zaman daripada Albert Camus kepada Samuel Beckett dan Ernest Hemingway.

Bagaimanapun senarai penerima turut mengandungi ikon Rock Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan, iaitu pilihan 2016 yang dikritik hebat oleh sebahagian pengkritik yang menghentam Akademi kerana meminggirkan pengarang yang popular dan disanjung ramai seperti novelis Ameirka, Philip Roth yang meninggal dunia Mei lalu.

Selepas kontroversi Dylan, Akademi cuma meredakan ketegangan pada tahun lalu dengan penerima yang tidak kontroversi, Kazuo Ishiguro, iaitu pengarang British kelahiran Jepun yang pencalonannya dipersetujui ramai.

Bagaimanapun suasana itu hanya bertahan selama tiga minggu selepas diumumkan kerana institusi terbabit terjebak dalam kontroversi yang kali ini menjadi pusat tumpuan kepada badai #MeToo.

Warga Perancis, Jean-Claude Arnault yang mengahwini anggota Akademi dan mengetuai kelab kebudayaan berpengaruh di Stockholm, dituduh merogol dan melakukan serangan seksual.

Siasatan dalaman akademi juga mendedahkan konflik kepentingan antara Arnault dengan institusi yang mendanai kelabnya selama beberapa tahun.

Arnault akhirnya berdepan dengan perbicaraan terhadap dua tuduhan merogol seorang wanita pada 2011. Keputusannya dijadualkan esok dan pendakwa memohon hukuman tiga tahun penjara.

Akademi terpecah dua dalam mengendalikan isu dengan Arnault dan reformasi yang perlu diambil.

Sebahagian daripada 18 anggota yang dilantik sepanjang hayat, enggan mengambil bahagian dalam urusan Akademi - termasuk setiausaha tetapnya yang pertama dari kalangan wanita, Sara Danius - meninggalkan institusi itu yang mengalami tidak cukup korum.

Dalam beberapa bulan sejak skandal meletus, anggotanya yang biasanya lebih berhati-hati, saling melemparkan ejekan hodoh di media.

Lumpuh dan canggung pada pandangan dunia, skandal itu tidak memberikan pilihan lain kepada Akademi kecuali: mengumumkan ia akan menunda Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 hingga tahun hadapan buat pertama kali dalam sejarah 70 tahun kebelakangan.

Pemenang 2018 akan diumumkan pada masa yang sama pengumuman hadiah 2019.

“Saya boleh lihat wujudnya kelemahan dalam organisasi mereka tetapi tidak terlintas dalam fikiran perkara seperti ini boleh berlaku.

“Kita berharap mereka dapat mengatasi hal ini,” kata Pengarah Yayasan Nobel, Lars Heikensten, yang menaja hadiah kepada AFP.

Dalam ketidaktentuan Akademi dan ketiadaan hadiah sastera untuk diraikan pada tahun ini, sekumpulan tokoh budaya Sweden mengambil keputusan untuk mewujudkan hadiah sendiri sementara menanti Nobel kembali pada tahun depan.

New Academy Prize in Literature diwujudkan sebagai protes terhadap ‘berat sebelah, keangkuhan dan seksisme’ serta ‘mengingatkan masyarakat bahawa sastera dan budaya sepatutnya mempromosi demokrasi, ketelusan, empati dan penghormatan tanpa sebarang pengecualian’, menurut antara pengasasnya yang turut disertai pengarang, seniman dan wartawan.

Ia akan diumumkan pada 12 Oktober ini.

Akademi Sweden, lingkaran tertutup yang wujud di Old Town, Stockholm yang banyak berahsia sejak 50 tahun, dilihat kelompok yang terpisah daripada realiti dan era moden.

“Keanggotaan sepanjang hayat dan populasi yang semakin tua turut mewujudkan situasi yang sukar dengan sebahagian anggota masih aktif pada usia yang tidak lagi mampu untuk bekerja secara profesional atau memahami bagaimana imej Akademi pada mata rakyat,” kata pengkritik sastera di akhbar harian Svenska Dagbladet, Madelaine Levy.

Masyarakat sudah hilang kepercayaan kepada organisasi itu dan melihatnya sebagai ‘tidak masuk akal’ dan chauvinis, katanya.

“Akademi memerlukan reformasi terutama lebih telus dan peraturan yang lebih ketat terhadap konflik kepentingan.

“Saya berharap Hadiah Nobel Kesusasteraan 2019 akan kembali tetapi dengan keadaan semasa, saya kurang pasti,” kata editor penerbit kedua terbesar di Sweden, Norstedts, Hakan Bravinger.

219 dibaca
Berita Harian X