Khamis, 17 Mei 2018 | 10:50am
LEBIH 20 pengarang, penyair dan seniman mendesak pembebasan balu kepada Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo, iaitu Liu Xia. - Foto Reuters

Pemenang Nobel, pengarang desak China bebaskan Liu Xia

BEIJING: Lebih 20 pengarang, penyair dan seniman mendesak pembebasan balu kepada Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo, iaitu Liu Xia.

Liu Xia dikenakan tahanan rumah di China sejak suaminya meninggal dunia dalam tahunan pada tahun lepas.

Kebimbangan semakin meningkat di kalangan diplomat Barat dan rakan Liu Xia terhadap penundaan perbincangan untuk menguruskan Liu meninggalkan China seperti yang dihasratkannya berulang kali.

Tokoh seperti Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, JM Coetzee; penyair, Rita Dove dan novelis umpamanya Paul Auster, Khaled Hosseini serta Ma Jian membuat rakaman video yang menampilkan bacaan petikan puisi Liu Xia dalam kempen yang dikendalikan oleh PEN America dan Amnesty International.

Ketua Eksekutif PEN America, Suzanne Nossel, berkata laungan kebebasan Liu Xia bergema di seluruh dunia dan menafikan dakwaan kosong kerajaan China bahawa beliau bebas.

Kementerian Luar China yang diminta untuk mengulas, berkata Liu ialah warga China dan haknya dilindungi berdasarkan undang-undang. Kementerian Keselamatan Awam tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan mendapatkan komen yang dihantar melalui faks.

Liu yang juga seniman dan penyair yang mengalami kemurungan, diletakkan dalam tahanan rumah sejak suaminya yang dipenjarakan oleh pihak berkuasa China pada 2009 kerana menghasut, memenangi Hadiah Nobel pada 2010.

Kerajaan China mengatakan Liu Xia bebas tetapi diplomat Barat menegaskan beliau dikawal rapi di kediamannya dan hanya dapat bercakap dengan rakan serta keluarga melalui lawatan yang diatur dan panggilan telefon.

Diplomat Barat di Beijing pada Jumaat lalu, mengambil langkah yang jarang dilakukan, iaitu cuba melawat Liu Xia di kediamannya tetapi diarahkan untuk berpatah balik oleh anggota keselamatan, kata pegawai di salah satu kedutaan yang terbabit kepada Reuters tetapi enggan dinamakan.

Kerajaan China berulang-ulang kali berkata, Liu Xia mempunyai semua kebebasan yang diberikan kepadanya sebagai rakyat China di bawah undang-undang, manakala kesnya adalah urusan dalaman.

Kempen PEN menambah gema pada desakan daripada kerajaan Barat, kumpulan hak asasi, rakan dan penyokongnya yang menuntut 'kebebasan sebenar' kepada Liu Xia.

Awal bulan ini, penulis dan juga rakan Liu yang menetap di Jerman, Liao Yiwu, berkata Liu Xia memberitahunya dalam perbualan telefon bahawa beliau sudah bersedia untuk mati di China. Beliau juga mengeluarkan rakaman tangisan Liu yang tidak terkawal dalam perbualan telefon yang lain.

187 dibaca
Berita Harian X