Khamis, 12 April 2018 | 4:01pm

Lukisan hilang dari Parlimen Perancis, ditemui

PARIS: Tiga lukisan yang dilaporkan hilang secara misteri di Parlimen Perancis pada awal bulan lalu, berjaya ditemui semula.

Dua lukisan ditemui apabila ia diletakkan menghadap dinding dalam bilik mesyuarat jawatankuasa, manakala sebuah lagi dipulangkan semula ke Parlimen selepas kes kehilangan karya seni berkenaan dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun sebuah lagi yang dilaporkan sebagai karya artis moden Perancis, Herve Telemaque, masih belum ditemui.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Speaker Parlimen, berkata siasatan masih diteruskan kerana satu daripada empat karya berkenaan masih belum ditemui.

"Siasatan akan diteruskan oleh agensi yang biasa mengendalikan kes kecurian hasil seni, Banditry Repression Brigade," katanya.

Keempat-empat lukisan itu didapati hilang melalui audit tahunan yang dilakukan hujung tahun lalu. Setiap satu karya berkenaan dianggarkan bernilai antara RM234 (49 euro) hingga RM16,780 (3,500 euro).

AFP yang memetik sumber daripada akhbar Perancis, The Canard Enchaine melaporkan kecurian yang berlaku awal bulan ini berkemungkinan dilakukan oleh pencuri amatur.

Jurucakap Pejabat Speaker Parlimen sebelum ini memberitahu Canard Enchainé semua karya berkenaan digantung dengan baik di bahagian bawah parlimen itu sebelum dipindahkan.

Antara yang hilang ialah karya artis Greek dikenali sebagai Takis yang menjadi hak milik Tabung Seni Kontemporari Perancis, selain karya artis tempatan seperti Hervé Télémaque dan Richard Texier.

Kecurian lukisan bukan hal yang luar biasa di Perancis. Pada 2015, audit tahunan yang dijalankan oleh suruhanjaya kebangsaan yang berperanan untuk mengaudit inventori seni mengesan lebih 58,000 karya seni dipercayai dicuri dengan 22,878 tidak berjaya dikesan.

393 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »