Selasa, 10 April 2018 | 3:30pm
PENSYARAH Kanan Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto Muhammad Sulaiman

Pengarang perlu kekalkan idealisme

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang turut menjadi bualan dalam ranah kesusasteraan tanah air, tidaklah asing dengan pembabitan sasterawan dan pengarang tanah air.

Sejarah turut mencatatkan pengarang terpahat dalam dunia politik Malaysia seperti Sasterawan Negara (SN) ke-2, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad memenangi kerusi Parlimen Sik dalam PRU ke-10 pada 1999.

Sebelum Shahnon, Tan Sri Datuk Shafie Abdullah, yang juga pengarang dekad 1950-an, nasionalis dan tokoh budaya sudah berada dalam senarai itu lebih awal lagi apabila dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Baling Timur di Kedah negara mencapai kemerdekaan.

Shafie kemudiannya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kawasan Baling, selama dua penggal bermula pada tahun 1969.

Selepas dua nama ini, ada juga pengarang lain yang menonjol dalam dunia politik tanah air meskipun pembabitan mereka tidaklah hingga menjejaki langkah Shahnon dan Shafie yang sempat bergelar Ahli Parlimen.

Pelbagai pendapat diluahkan apabila membincangkan mengenai pengarang tanah air yang menyertai dunia politik.

Ada sebahagian yang mahu ia berlaku kerana ingin melihat sastera diletakkan di tempat sepatutnya tetapi yang lain pula enggan melihat pegangan politik pada parti tertentu memecah-belah kalangan penggiat dunia sastera.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata pengarang yang mahu menyertai dunia politik perlu mengimbangkan dunia itu dengan idealisme sebagai seorang pengarang.

Awang Azman berkata, ia akan menjadi cabaran besar buat pengarang memandangkan dunia politik sangat berlainan dengan dunia kepengarangan malah bagi sesetengah pengarang yang tidak mempunyai ketahanan tinggi, mereka sama ada akan keluar, terkeluar ataupun 'ditendang' dari dunia politik.

Dunia politik katanya, terlalu kompleks dan tidak semudah difikirkan kerana pertarungan dan perebutan kuasa berlaku dengan hebatnya sedangkan pengarang pula tidak mementingkan kuasa dan pengaruh.

"Ahli politik tulen lebih pragmatik dan fleksibel serta berupaya 'bertukar-tukar', menyebabkan musuh atau kawan dalam politik tidak selamanya akan kekal begitu.

"Bagi pengarang yang tulen pula, keutamaan mereka ialah menegakkan idealisme dengan menentang kezaliman serta membawa keadilan dan kemanusiaan.

"Justeru apabila menyertai politik, mereka rasa dunia ini amat berlainan malah ada yang tidak menyangka berdepan dengan politik dalaman yang lebih teruk daripada persaingan di luar parti," katanya kepada BH di sini.

Awang Azman berkata, pengarang yang memilih menyertai politik perlu memastikan tiada kecenderungan membawa ideologi kepartian yang sempit dan sama sekali bertentangan dengan pemikiran bersifat sejagat seperti sepatutnya dilakukan seorang pengarang.

"Ia satu tragedi intelektual jika berlaku kejadian sebegini. Daripada satu segi, saya melihat mungkin pengarang menyertai politik bagi membolehkan sastera itu dilihat secara langsung dan bagi saya ini satu perkara yang penting.

"Sasterawan di negara ini kebiasaannya hanya dipanggil untuk memperkatakan mengenai isu sastera saja malah sangat jarang mereka dilantik sebagai panel pemikir untuk mana-mana dasar pembangunan kebangsaan.

"Pemerintah perlu mengikis sikap ini kerana sasterawan juga perlu memperkatakan mengenai isu nasional dan kemudian mengaitkannya dengan sastera dan budaya," katanya.

110 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »